KOTA KINABALU - Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman kini mendapatkan rawatan perubatan dan tidak  melakukan perjalanan ke luar  negara secara tidak sah.

Tanpa memberitahu apakah yang dihidapi dan di mana beliau mendapatkan rawatan, peguamnya Zahir Shah berkata Musa dinasihatkan oleh doktor peribadinya untuk mendapatkan rawatan bagi  penyakit yang telah lama dihidapinya.

“Saya ingin memaklumkan  bahawa Tan Sri Musa ingin menjelaskan bahawa beliau tidak pernah melakukan perjalanan meninggalkan negara secara tidak sah dan ingin menjelaskan bahawa perjalanannya sentiasa melalui saluran imigresen.

“Beliau (Musa) mengulangi bahawa beliau sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya dan  akan terus berbuat demikian untuk membantu pihak berkuasa asalkan ia dilaksanakan dengan adil dan mematuhi undang-undang,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Zahir berkata Musa akan kembali ke Sabah sebaik sahaja rawatan perubatannya selesai dan doktor beliau berpuas hati dengan keadaan kesihatannya secara keseluruhan.

Peguam itu membuat kenyataan  tersebut selepas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali memberi amaran hari ini kepada Musa bahawa tindakan akan diambil jika pengerusi Barisan Nasional Sabah itu meninggalkan negara secara menyalahi undang-undang.

Polis telah cuba untuk merakamkan kenyataan daripada bekas ketua menteri itu bagi menyiasat aduan yang dibuat oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin kepada polis pada 19 Mei dipercayai berhubung ugutan jenayah.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata polis percaya Musa telah meninggalkan Sabah sejak 14 Mei. - Bernama