KENINGAU - Kerajaan meluluskan RM8.3 juta sebagai pinjaman tabung modal pusingan kepada sembilan koperasi di Sabah sepanjang 2016,  kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri,  Tan Sri Joseph Kurup.

Selain itu, katanya sebanyak RM360,000 lagi diluluskan untuk bantuan pembangunan kepada 15 koperasi di Sabah.

"Ini menunjukkan kerajaan ingin melihat sektor perniagaan koperasi terus berkembang dan menyumbang kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara," katanya ketika merasmikan Koperasi Rukun Tetangga (RT) di Sook hari ini.

Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, kerajaan akan terus membantu gerakan koperasi meningkatkan sumbangannya bukan sahaja kepada anggota koperasi tetapi juga kepada pembangunan ekonomi negara.

Bagaimanapun, katanya, semua usaha kerajaan akan menjadi sia-sia sekiranya koperasi sendiri tidak mengambil inisiatif merebut peluang yang disediakan.

Sehubungan itu,  beliau mahu komuniti koperasi di kawasan Parlimen Pensiangan menjadikan gerakan koperasi sebagai platform untuk membangunkan ekonomi mereka.

Sementara itu, Kurup berkata pada masa ini terdapat 7,778 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara dan Sabah mencatat bilangan KRT tertinggi di negara ini iaitu 1,002 kawasan. - Bernama