LABUAN – Semangat patriotik memenuhi segenap ruang SK Sg Bedaun ketika pelajar-pelajar dan lebih 50 guru menggunakan kreativiti mereka menghiasi sekolah untuk sambutan Hari Malaysia pada 16 September.

Guru besar sekolah itu, Dg Sharifah Ag Mahmod, berkata mereka mengumpul lebih dari 2,000 botol plastik kitar semula untuk membuat  pintu gerbang Jalur Gemilang, replika Menara KL serta memasang lebih 200 jalur gemilang di sekitar pagar dan premis sekolah sejak sambutan bulan Kebangsaan dan sebagai persediaan untuk pertandingan Hari Malaysia yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Labuan.

"Kami telah melakukan ini sejak awal hari pembukaan sekolah ini...kami telah memenangi beberapa pertandingan semasa Hari Wilayah Persekutuan dan Merdeka, dan kami mahu menang lagi," katanya di sini hari ini.

Tahun lepas sekolah tersebut memenangi pertandingan bagi kategori sekolah dan juga juara keseluruhan bagi pertandingan perbarisan Merdeka di Labuan.

Sharifah berkata sekolah itu juga telah menganjurkan pelbagai aktiviti dan permainan yang berkaitan dengan patriotisme seperti lukisan dan mewarna bendera kebangsaan dan negeri bagi murid-murid pra-sekolah dan pelajar sekolah rendah.

Beliau berkata projek itu bukan sahaja mengajar kanak-kanak erti patriotisme tetapi juga membantu mereka memupuk tabiat baik seperti mengitar semula dan menggunakan semula bahan-bahan untuk kerja-kerja mereka.

"Pelajar-pelajar kami dilihat amat teruja dan gembira ketika menghiasi kawasan sekolah. Mereka berikan kerjasama sepenuhnya dalam semua aktiviti yang dianjurkan,” katanya dan menambah bahawa inilah kali pertama mereka menghias sekolah mereka dalam skala yang besar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Datuk Azhar Ahmad berkata tahun ini acara perbarisan sempena sambutan Hari Malaysia di Labuan akan disertai 131 kontinjen yang melibatkan 18 jabatan kerajaan termasuk badan beruniform, tadika, prasekolah, sekolah, dan institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan kampung-kampung.

Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad dijadual merasmikan acara itu yang akan diadakan di Dataran Labuan.