KOTA KINABALU - Persidangan Dun Sabah hari ini meluluskan Bajet Negeri 2018 berjumlah RM4.104 bilion, yang merupakan bajet lebihan selama empat tahun berturut-turut.

Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, yang juga Menteri Kewangan Negeri, berkata dengan kedudukan lebihan itu jelas membuktikan kerajaan negeri melaksanakan pengurusan kewangan dengan efisien dan efektif.

Malah, pengurusan baik kewangan kerajaan negeri turut diiktiraf oleh Ketua Audit Negara dari tahun ke tahun, katanya.

"Semasa menyediakan Anggaran Peruntukan Tambahan, anggaran yang disemak kadang kala menunjukkan kedudukan defisit. Ini betul, saya akui.

"Tetapi sukacita saya menyatakan bahawa Akaun Hasil Yang Disatukan kerajaan negeri yang telah diaudit setiap tahun sebenarnya telah merekodkan kedudukan lebihan selama 16 tahun berturut-turut iaitu sejak 2001," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Kewangan Negeri pada persidangan Dun di sini hari ini.

Musa kesal dengan pembangkang ketika membahaskan Bajet Negeri 2018 sejak Isnin lepas yang cuba mengelirukan fakta dengan mengatakan bajet yang dibentangkan selama empat tahun berturut-turut itu sebenarnya bajet defisit.

Beliau turut menegur pembangkang supaya tidak membandingkan bajet Sabah dengan bajet yang dibentangkan negeri di bawah pentadbiran pembangkang.

Katanya, Selangor telah membentangkan bajet dengan jumlah defisit RM870 juta, manakala Pulau Pinang telah membentangkan bajet dengan defisit RM748.5 juta.

"Selangor merupakan negeri yang maju dan Pulau Pinang pula negeri yang begitu 'industrialised', tetapi membentangkan bajet defisit.

"Dulu, ketika di bawah Barisan Nasional, mereka (Selangor dan Pulau Pinang) dalam kedudukan yang baik," katanya.

Musa turut menerangkan proses penyediaan bajet negeri mengikut proses persijilan pengurusan kualiti standard MS ISO sejak 2008. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :