MIRI – Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri menafikan mesej tular di media sosial yang mendakwa program taklimat kerjaya serta temuduga khas untuk melanjutkan pelajaran akan diadakan di premisnya di sini Jumaat ini.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong berkata, mesej tular tersebut adalah palsu kerana bomba Miri tidak pernah membenarkan mana-mana pihak untuk melaksanakan program di premis milik Bomba Miri seperti dinyatakan dalam mesej tersebut.

“Orang awam yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Balai Bomba Miri 085-420991 untuk memastikan kesahihan maklumat,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Selain taklimat kerjaya dan temuduga khas, mesej palsu itu juga menghendaki ibu-bapa membuat bayaran pra-pendaftaran RM300 serta membawa slip SPM anak ke lokasi program tersebut di Bomba Miri Jumaat ini dari jam 9.30 pagi hingga 2 petang..

Mesej tersebut mendakwa menawarkan biasiswa serta elaun dalam bidang penguatkuasaan, forensik dan bank khusus untuk kerjaya seperti anggota polis, kastam, wataniah serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). – Bernama