BOTA - Persatuan Bola Sepak Perak Tengah mengingatkan Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) dan kontraktor projek naik taraf Stadium Mini Bakri Rais, Bota menjalankan amanah dipertanggungjawabkan sebaik mungkin.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak Tengah, Khairul Shahril Mohamed berkata, padang Stadium Mini Bakri Rais sudah tidak dapat digunakan sejak setahun lalu akibat ditenggelami banjir hampir sebulan.

“Kini padang ini sedang melalui proses baik pulih secara keseluruhan, termasuk stadium mini yang ada bagi memastikan ia boleh digunakan semula.

“Jadi, gunakan kaedah yang betul dengan memastikan tanah dan rumput yang digunakan berkualiti,” katanya ketika sesi lawatan ke stadium mini berkenaan, semalam.

Difahamkan, sebanyak RM255,000 diperuntukkan untuk kerja naik taraf stadium mini berkenaan.

Menurutnya, perkara itu penting kerana padang berkenaan antara yang terbaik di Perak Tengah untuk mengadakan perlawanan bola sepak.

“Kita tidak mahu sejarah lama berulang... pernah terjadi kerja naik taraf sebuah padang di daerah ini hasilnya sangat mengecewakan apabila padang itu langsung tidak dapat digunakan. 

“Kita tidak mahu padang ini terima nasib sama, tambah lagi padang ini digunakan belia untuk mengasah bakat dalam arena bola sepak. Ramai bakat baharu peringkat negeri atau kebangsaan dilahirkan di sini," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Pusat yang menyediakan peruntukan baik pulih padang berkenaan.

“Kita harap apabila ia selesai dibaik pulih segala masalah yang dihadapi sebelum ini akan dapat diatasi dan ia boleh digunakan semula seperti biasa.

“Kita juga akur untuk tidak menggunakannya bagi tempoh tertentu bagi memastikan proses baik pulih lancar dan sedia untuk digunakan seperti yang sepatutnya,” katanya.