PARIT BUNTAR - Seorang naib kadi Pejabat Agama Islam Parit Buntar tidak menyangka dua muka surat ayat suci al-Quran milik Masjid Hijau, Kampung Kedah di sini, lenyap sewaktu hendak membacanya pagi tadi.

Mohamad Khori Junus berkata, lebih kurang jam 11.05 pagi, dia menunaikan solat sunat di masjid berkenaan dan berhajat membacakan Surah Al-Waqi’ah sementara menunggu kehadiran pasangan pengantin untuk dijalankan upacara akad nikah.

Menurutnya, dia segera mengambil salah satu naskhah al-Quran yang diletakkan di bahagian mimbar masjid dan terkejut mendapati sebahagian besar ayat Surah Ar-Rahman dan permulaan ayat Surah Al-Waqi’ah yang ingin dibaca ‘hilang’ ketika membukanya.

“Saya sangat terkejut dan memaklumkan perkara itu kepada imam masjid yang kebetulan turut berada di situ bagi menjadi saksi nikah.

“Beliau (imam masjid) memaklumkan tidak pernah mengetahui terdapat sebarang naskhah al-Quran tidak sempurna disimpan pihak masjid dan meminta saya memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Agama Islam Negeri Perak (Jaipk),” katanya kepada media di sini hari ini.

Mohamad Khori berkata, hasil pemeriksaannya mendapati sebahagian ayat dari Surah Ar-Rahman yang hilang bermula ayat 41 hingga ayat 78, manakala ayat dari Surah Al-Waqi’ah pula bermula ayat pertama sehingga ayat 16.

Menurutnya, pada mulanya dia menganggap mungkin berlaku kesilapan pencetakan pada naskhah al-Quran Resam Uthmani yang merupakan cetakan keempat pada sembilan tahun lalu.

“Namun, apabila memikirkan proses pencetakan al-Quran perlu melalui prosedur amat ketat oleh panel pemeriksaan dilantik Jabatan Kemajuan islam Malaysia (Jakim), saya memutuskan penemuan ayat al-Quran hilang mungkin merupakan satu peringatan kepada umat Islam,” katanya.

Lebih mengejutkan, Mohamad Khori mendedahkan intipati sebahagian ayat al-Quran hilang terutama ayat permulaan Surah Al-Waqi’ah menceritakan tentang kejadian-kejadian besar pada hari kiamat.

"Dewasa kini, amalan membaca al-Quran dalam kalangan umat Islam di negara ini dilihat semakin berkurangan terutama dalam kalangan golongan muda.

“Saya berharap penemuan ini tidak disalah tafsir, sebaliknya dijadikan iktibar dan pedoman buat diri saya dan seluruh umat Islam untuk kembali taat kepada perintah Allah SWT dan Rasulnya,” katanya.

Mohamad Khori turut mendedahkan pengalaman ini pertama kali dialaminya dan berharap perkongsian pengalaman itu dapat mengingatkan umat Islam supaya kembali mengimarahkan bacaan al-Quran setiap masa.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Program Kempen Let's Read The Quran yang bakal berlangsung pada 1 hingga 31 Mac ini bakal memberi galakan kepada seluruh masyarakat untuk membaca dan berinteraksi dengan al-Quran mengikut terjemahan bahasa kaum masing-masing.
  • RANTAU PANJANG - Yayasan Amal Datuk Dr Zul Wisma menawarkan kelas pengajian taranum al-Quran secara percuma kepada Muslimin di seluruh negeri ini.
  • HULU TERENGGANU - Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Hulu Terengganu Tahun 2018 menyaksikan gelaran qari dan qariah menjadi milik Muhammad Syakir Asyraf Suhaimi, 21, dan Nasirah Ibrahim, 55.
  • KUALA NERUS - Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia Wilayah Terengganu (Pertis) berjaya melahirkan tiga guru al-Quran braille yang bertauliah dan empat guru pembantu sejak kelas itu diwujudkan 10 tahun lalu.
  • KUALA LUMPUR - Bersantai bersama keluarga, beriadah di taman, membaca al-Quran di tempat terbuka, dan mempunyai pilihan untuk mengambil makanan dan barangan secara percuma. Itu situasi pada pagi Ahad di Taman Tasik Datuk Keramat, di sini, hari ini.