SEPASANG suami isteri yang baru pulang dari majlis tahlil kematian seorang ahli keluarga mereka maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu merempuh belakang sebuah kereta jenis Porsche Cayennes, 12.15 malam, kelmarin.

Kejadian berlaku di Kilometer 30 Jalan Ipoh-Lumut berhampiran lampu isyarat Taman Maju itu menyebabkan mangsa, Hazli Hassan, 42, bersama isterinya Zalina Mahmod, 40, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, kedua-dua mangsa bersama seorang anak mereka dikatakan dalam perjalanan dari arah Ipoh sebelum melanggar kereta dari arah sama yang berhenti di lampu isyarat berkenaan.

"Kereta jenis Perodua Alza berkenaan mengalami kerosakan di bahagian depan kereta.

"Pasangan suami isteri itu maut di tempat kejadian, sementara anak mereka hanya mengalami cedera ringan,” katanya.

Difahamkan, tiga beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Sri Indah, Ayer Tawar selepas selesai majlis tahlil allahyarham bapa  Hazli, di Behrang.

Adik ipar Hazli dikenali Zaki, 40, berkata, mereka hanya mengetahui kejadian itu apabila menerima panggilan daripada seorang wanita yang menghubungi seorang kakaknya, menggunakan nombor bimbit Zalina.

“Dia ada maklumkan tentang kemalangan, tapi tak begitu jelas, bila kami cuba menghubungi semula, nombor berkenaan tidak bersambung.

“Saya yang bimbang segera menelefon balai polis Seri Iskandar untuk kepastian dan mereka memaklumkan memang ada kemalangan, tetapi tidak dapat disahkan lagi siapa yang terlibat,” katanya ketika ditemui di Hospital Changkat Melintang, semalam.

Zaki berkata, dalam tempoh 30 minit kemudian, polis menghubungi mereka semula dan mengesahkan kakak dan abang iparnya terlibat dalam kemalangan itu.

“Kami adik-beradik segera datang ke sini (Hospital Changkat Melintang) untuk melihat dan menuntut jenazah, kedua-dua mereka dikebumikan di Behrang.

“Kami adik-beradik juga sepakat untuk membawa pulang anak mangsa Salsabila, 13, ke Kelantan untuk dijaga di sana,” katanya.

Allahyarham Hazli adalah Ketua Urusan Ulama Pas Kawasan Beruas dan pernah memegang jawatan Yang DiPertua Pas Kawasan Beruas.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang turut hadir memberikan penghormatan terakhir.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JENGKA - Seorang pejalan kaki maut dirempuh sebuah motosikal dalam kejadian kemalangan di Jalan Perkampungan Felda Kesidang Jengka 8 Berdekatan Masjid Jengka tersebut di sini, awal pagi tadi.
  • GEMAS - Sepasang suami isteri berhadapan detik cemas apabila terbabit dalam kemalangan di Jalan Jelai-Bukit Rokan, di sini, petang kelmarin.
  • KLANG - Seorang wanita maut selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuh Sungai Kapar Indah menghala ke Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Sungai Kapar Indah, di sini, hari ini.
  • MUAR - Seorang pekerja kontraktor maut manakala dua lagi rakannya cedera selepas dilanggar oleh sebuah kereta ketika sedang mengawal lalu lintas di persimpangan lampu isyarat di Simpang Jeram, Bakri, Muar, malam tadi.
  • JOHOR BAHRU - Sepasang suami isteri maut apabila motosikal mereka dilanggar sebuah Perodua Viva di Km 5, Jalan Bukit Pasir, Batu Pahat padi tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.