TAPAH - Sebanyak 35,948 kesalahan jalan raya dirakam menerusi Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) dalam tempoh dua minggu perayaan Aidilfitri ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata,  jumlah itu melibatkan kesalahan kes gagal mematuhi lampu isyarat merah sebanyak 2,221 kes dan 33,727 yang melibatkan kes memandu melebihi had laju.

“Kesalahan itu didapati daripada 47 Awas seluruh negara termasuk 17 di lebuh raya dalam tempoh musim perayaan pada kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pemantauan trafik melalui udara dan statistik terkini bagi Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2018 di Kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Tapah arah Utara, semalam.

Dalam pada itu, Shaharuddin berkata, dalam Ops HRA pada tahun ini yang dijalankan oleh pihaknya menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu.

Katanya, sebanyak 30,820 kes diterima pihaknya pada tahun ini yang menurun berbanding tahun lalu yang melibatkan pelbagai saman.

Menurutnya pada tahun lalu, pihaknya menerima 37,913 kes dalam tempoh yang sama.

Beliau berkata, dalam tempoh yang sama, penguatkuasa khas motosikal sempena Ops HRA 2018, pihaknya mengeluarkan saman sebanyak 5,341 yang melibatkan kesalahan melibatkan perlesenan pemandu, kenderaan dan lain-lain kesalahan.

“Manakala Ops Motosikal HRA 2018 yang kita jalankan dalam tempoh 13 serta 14 Jun lalu, kita memeriksa 25,304 kenderaan diperiksa dan 4,400 disaman oleh kita.

“Bagi memastikan keberkesanan penguatkuasaan pada kali ini, JPJ menyusun tiga strategik utama iaitu pendidikan, pencegahan dan penguatkuasaan yang menunjukkan penurunan berbanding  tahun sebelum ini,” katanya.