IPOH – Polis berjaya menumpaskan sindiket melupuskan kenderaan curi yang berlaku di daerah ini apabila menemui 13 enjin lori dipercayai untuk dijual ke pasaran antarabangsa selepas menyerbu sebuah stor besi buruk di Trong, Taiping, kelmarin.

Dalam serbuan jam 11 pagi yang disertai anggota Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri itu, mereka turut menahan 22 lelaki termasuk 10 warga asing di sekitar kawasan Simpang serta Jalan Chain Ferry, Butterworth.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, ketika serbuan dibuat, enjin berkenaan telah dimuatkan dalam sebuah kontena untuk dibawa ke Pelabuhan Klang sebelum dihantar ke luar negara.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap 13 enjin lori terbabit polis mendapati nombor casis telah dicanai membabitkan kenderaan jenis Isuzu, Hicom, Mitsubishi dan Toyota Hilux.

“Kita turut menjumpai tiga kepala lori jenis Toyota Hilux dan Isuzu, sebuah kontena, dua kren, lori Daihatsu dan Isuzu, sebuah treler bersama kontena serta sebuah Perodua Myvi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, di sini, semalam.

Beliau berkata, manakala 10 warga asing yang ditahan melibatkan lima warga Bangladesh, empat Myanmar dan seorang warga Mesir yang masing-masing berusia antara 33 hingga 40 tahun.

Jelasnya, suspek warga Mesir disyaki menjadi pembeli enjin dan kenderaan curi, malah siasatan awal mendapati kesemua enjin telah dikeluarkan daripada kenderaan yang dicuri atau disamun.

“Nombor enjin kenderaan terbabit telah diubahsuai. Pihak forensik PDRM sedang membuat analisis bagi menimbulkan semula nombor enjin asal,” katanya.

Kok Liang berkata, hasil semakan mendapati enam suspek warga tempatan yang bertindak sebagai ahli sindiket mempunyai rekod jenayah  bunuh, samun, curi kenderaan dan mendatangkan cedera.

“Manakala, seorang suspek merupakan pemilik stor mempunyai dua rekod lampau dalam kes mendatangkan kecederaan.

“Kesemua suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan manakala, nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.