BAGAN DATOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan Pulau Sembilan menjadi sebahagian daripada Daerah Bagan Datoh.

Pulau Sembilan yang sebelum ini terletak di bawah pentadbiran daerah Manjung, secara rasminya menjadi milik daerah Bagan Datoh dalam membantu merancakkan pembangunan daerah baharu berkenaan.

"Sebenarnya kita sedang menunggu masa sesuai untuk mengisytiharkan Pulau Sembilan sebagai sebahagian daripada daerah Bagan Datoh, tapi hari ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi minta pula.

"Jadi terpaksalah saya cakap di sini bahawa Pulau Sembilan memang milik tuan (Bagan Datoh)," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bagan Datoh, hari ini.

Sebelum itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya meminta kerajaan negeri supaya memberikan Pulau Sembilan di bawah daerah Manjung kepada daerah Bagan Datoh dan diiringi tepukan serta sorakan ahli umno.

Menurut Ahmad Zahid, ia berikutan kedudukan Pulau Sembilan yang lebih dekat dengan Bagan Datoh berbanding kawasan lain.

Mengulas lebih lanjut, Zambry berkata, pihak kerajaan negeri sejak dahulu lagi telah memasukan daerah Hilir Perak termasuk Parlimen Bagan Datoh di dalam Pelan Pembangunan Aman Jaya.

"Ini kerana kawasan Hilir Perak merupakan kawasan yang masih belum dibangunkan secara perbandingan dengan kawasan lain.

"Kerana itu apabila Bagan Datoh diisytiharkan sebagai daerah baharu, ia akan merancakkan lagi pembangunan kawasan berkenaan," katanya.