• Sosok misteri ganggu ketenteraman penduduk sejak 10 hari Sosok misteri ganggu ketenteraman penduduk sejak 10 hari
  • Hamdan menunjukkan bagaimana orang minyak yang dikatakan berhenti di hadapan rumah Su dalam keadaan mencangkung. Hamdan menunjukkan bagaimana orang minyak yang dikatakan berhenti di hadapan rumah Su dalam keadaan mencangkung.
  • Shaharudin menunjukkan kawasan yang dikatakan dilalui oleh orang minyak kerana lari daripada bomoh. Shaharudin menunjukkan kawasan yang dikatakan dilalui oleh orang minyak kerana lari daripada bomoh.
1 /

CHANGKAT LADA - Sosok misteri didakwa orang minyak, ditambah bayangan jelmaan tertentu yang menyelubungi Felcra Changkat Lada sejak 10 hari lalu mengganggu ketenteraman penduduk.

Penduduk, Shamidi Shaari, 44 memaklumkan, dia sudah tiga hari tidak pulang ke rumah sejak ia disinggahi orang minyak yang disedari anaknya bersama seorang rakan sewaktu pulang dari rondaan malam.

Menurut Shamidi, anaknya berhenti di halaman rumah apabila terlihat lembaga hitam tergantung seperti buah nangka di batang pokok rambutan.

"Tiga kali anak saya tegur benda tu dan ia terus lari ke kawasan hutan berhampiran. Sejak peristiwa itu, tiga kali orang minyak datang ke rumah saya sehingga saya terpaksa panggil bomoh untuk halau.

"Mulanya saya tak percaya, tapi bila dah alami sendiri termasuk jumpa tapak kaki kecil sebesar katak di tangga rumah dan almari solek, kehidupan kami sekeluarga mula tak tenteram," cerita Shamidi.

Berikutan peristiwa itu, Shamidi telah menghantar anak-anak serta isterinya pulang ke kampung mereka di Felda Besout.

Menurut Shamidi, kepercayaan wujud jelmaan orang minyak diperkuatkan dengan kesan tompokan darah di cadar serta tilam selepas berlaku pergelutan antara bomoh dan lembaga yang didakwa orang minyak itu.

"Saya dah basuh cadar tu, tapi kesannya masih ada. Sampai sekarang saya tak boleh masuk rumah sebab fobia. Saya sendiri tak tahu apa motif lembaga jelmaan itu muncul di kawasan ini dan ganggu kehidupan kami.

"Saya alu-alukan bantuan daripada sesiapa yang mahir dalam pengubatan mistik untuk kembalikan ketenteraman kawasan," katanya.

Nampak bayang hitam

Hanya mahu dikenali sebagai Su, 26, penduduk Felcra Changkat Lada ini mengaku pernah melihat lembaga hitam berbadan besar mencangkung di hadapan rumahnya, Ahad lalu.

Menceritakan kejadian, Su berkata, pada mulanya dia mendengar bunyi kocakan air dalam longkang di hadapan rumahnya dan membuka tingkap untuk melihat keadaan.

"Saya terkejut bila tengok lembaga hitam mencangkung seperti baru naik dari longkang. Kerana terlalu takut, saya lari ke dalam bilik dan telefon suami supaya pulang segera.

"Saya bimbang lembaga hitam itu masuk rumah sebab hanya saya, mak dan anak-anak dalam rumah malam itu. Lembaga itu lari ke tempat lain apabila beberapa remaja bermotosikal melalui kawasan rumah kami," katanya.

Rela jaga malam

Anggota Rela, Hamdan Baharudin, 32 mengakui berita berkaitan jelmaan orang minyak sudah heboh sejak 10 hari lalu dan memaklumkan peristiwa itu bermula di kawasan penempatan Felcra Fasa Empat sebelum merebak ke rumah kakitangan Felcra, seterusnya ke penempatan di fasa tujuh.

"Katanya hanya orang tertentu dapat lihat lembaga yang didakwa boleh menjelma dalam pelbagai bentuk termasuk kucing hitam dan katak. Ada yang kata ia boleh kelirukan pandangan kita supaya orang tak sedar kehadirannya.

"Sejak ada jelmaan orang minyak, ketenteraman penduduk terganggu sehingga ada yang tak berani balik rumah. Anggota Rela kini buat rondaan dan berjaga pada waktu malam. Kami harap kes ini diselesaikan secepat mungkin," katanya.

Sementara itu, Ketua Platun Rela Changkat Lada, Laftenan (Rela) Shaharudin Hashim memaklumkan pasukannya telah mengambil inisiatif dengan melakukan rondaan dan berjaga malam secara bergilir-gilir.

"Kami ambil inisiatif untuk terus mewujudkan suasana aman dan tenang. Polis turut buat rondaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Perkara ini agak mistik dan kita sendiri tak tahu kesahihannya. Namun langkah berjaga-jaga sentiasa diambil. Setakat ini belum ada kejadian pecah rumah, kehilangan barang atau penduduk tercedera dan kita tak mahu sebarang kemungkinan ini berlaku," tegasnya.

Polis terima satu laporan

Ketua Polsi Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman memaklumkan satu laporan polis diterima 11 Mei lalu sejak berita berkaitan orang minyak heboh diperkatakan di Felcra Changkat Lada.

Menurutnya, dalam laporan berkenaan, pengadu yang merupakan warga emas berusia 62 tahun mengatakan dia ditindih seorang lelaki bersenjata pisau pada jam 3 pagi dalam rumahnya di Felcra berkenaan, namun lelaki terbabit hilang apabila pengadu mengucap dua kalimah syahadah.

"Kita sedang siasat perkara ini dan selepas kejadian itu, penduduk bersama Rela telah melakukan jagaan malam untuk memastikan keselamatan kawasan terbabit terjamin. Sehingga kini pelbagai cerita sampingan diterima tetapi tidak dapat disahkan kebenarannya," katanya.