IPOH – Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu menyifatkan penamatan perjanjian lesen (IP) antara pihak Taman Tema Animasi Studio (Maps) dengan syarikat Dreamworks Animation LLC, dilihat sebagai satu langkah yang baik.

Katanya, penamatan berkenaan sekali gus menamatkan pemilikan harta intelek khususnya bagi segmen Dreamzone, di taman tema animasi berkenaan.

Menurut Ahmad Faizal, secara tidak langsung penamatan IP dengan Dreamworks bakal membuka peluang buat MAPS untuk bekerjasama dengan pihak lain dan seterusnya membuka operasi taman animasi berkenaan kepada umum.

“Apa pun, saya percaya keputusan pentadbiran MAPS ataupun Perak Corporation Bhd (PCB) ini akan membantu mereka menyegerakan proses membuka semua tarikan yang ada, supaya pengunjung merasakan tiket yang dibeli, nilainya berbaloi,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian pada sidang media setelah menyempurnakan majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan KPPSM Negeri Perak Ke-43 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini bagi mengulas pengumuman oleh Ketua Pegawai Operasi Maps Shafeii Abdul Gaffor berhubung penamatan perjanjian lesen antara Maps dan Dreamworks, semalam.

Dalam pada itu Ahmad Faizal berharap agar Maps dapat bekerjasama dengan beberapa pemain industri lain pada masa akan datang.

“Kerjasama ini diharap akan dapat merancakkan kembali kehadiran pengunjung ke MAPS. Dalam masa yang sama, kita harap selepas mengadakan kerjasama, harga barangan cenderahati, makanan, minuman serta tiket akan lebih murah berbanding hari ini,” katanya.