IPOH - Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat tepat mengenai polisi insurans yang diambil sebelum menularkan rasa tidak puas hati di media sosial.

Pengerusi Kelab Rekreasi Ejen-Ejen Prudential Perak (KREPP) Khairul Khamis berkata, tindakan menghina ejen insurans dilihat keterlaluan kerana pelanggan seharusnya merupakan kepada syarikat atau berhubung dengan pihak berkaitan.

Katanya, ada beberapa sebab tuntutan insurans tidak dapat dibuat dan ia perlu dirujuk dengan syarikat majikan atau syarikat insurans terus.

"Kita kesal dengan tindakan individu mengeluarkan kata-kata kesat kepada ejen melalui video yang ditularkan.

"Jadi saya bersama ahli KREPP sudahpun membuat laporan polis terhadap video yang tular dan kita minta siasatan dibuat oleh pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, laporan polis dibuat semalam jam 10.45 pagi di Balai Polis Sungai Senam, di sini.

Khairul berkata, tohmahan yang dibuat individu terbabit sengaja dibuat untuk memburuk-burukkan ejen dan syarikat insurans.

"Kami membuat laporan ini supaya reputasi syarikat dan para ejen yang membuat kerja dengan betul tidak terjejas dengan video tular yang berniat tidak baik ini.

"Orang ramai diharap tidak sewenang-wenangnya tuduhan dan tohmahan di mana-mana media massa yang boleh menjejaskan kerjaya orang lain tanpa mengetahui perkara sebenar," katanya.

Sebelum ini, satu video memaparkan seorang lelaki meluahkan rasa tidak puas hati terhadap perkhidmatan sebuah insurans selepas gagal membuat tuntutan.

Video yang dimuat naik dalam laman Facebook itu kemudiannya tular dan mendapatkan pelbagai reaksi netizen.