KUALA KANGSAR – Pusat Pelancongan Victoria Bridge akan menerima pelancong dari negara Ghana, Perancis, India dan Sweden yang teruja mahu melihat keunikan dan kehebatan sejarah Jambatan Kereta Api Victoria, Karai, di sini.

Pengarahnya, Siti Norlizawati Narawi berkata, kedatangan pelancong itu merupakan sebahagian dari program yang diyakini dapat menarik lebih ramai pelancong dari luar negara mengunjungi jambatan bersejarah itu.

Menurutnya, banyak agensi pelancongan dari luar negara telah menyatakan hasrat untuk mengunjungi jambatan berusia 113 tahun itu yang mempunyai kaitan dengan sejarah pembangunan kereta api Tanah Melayu.    

“Sejak dirasmikan  minggu lalu,  jambatan ini mula mendapat perhatian khususnya kepada penduduk tempatan yang ingin melihat keistimewaan jambatan ini.

“Dalam masa terdekat,  seramai 80 orang pelancong dari Sweden akan datang ke sini dan program meraikan kehadiran mereka sedang dipersiapkan termasuklah mengadakan kenduri ala-ala kampung untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai promosi akan dilakukan bagi menarik seramai mungkin pengunjung ke Victoria Bridge termasuklah projek mengindahkan dan menceriakan kawasan sekitarnya agar menjadi lebih cantik dan menarik.

Malah, pihaknya juga sedang mempertingkatkan lagi segala kemudahan asas khususnya seperti kemudahan parkir serta tempat rawat dan rehat sejajar dengan imej jambatan itu yang diiktiraf sebagai salah satu pusat pelancongan.

“Buat permulaan, sebanyak 20 anak pokok teduhan telah ditanam bersama Adun, Chenderoh Zainon Mat Nor di samping program penanaman rumput yang akan dilakukan nanti.

“Dalam usaha untuk mempromosikan jambatan ini, pihak kami sentiasa merancang beberapa program lain termasuklah pameran motosikal, aktiviti sosial, kebudayaan, kesenian dan sebagainya,” jelasnya

Agensi pelancongan atau individu yang berminat untuk mendapatkan maklumat mengenai Victoria Bridge bolehlah melayari laman Facebook pusat pelancongan itu iaitu ‘Victoria Bridge Malaysia’ untuk keterangan lanjut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEREMBAN - Penduduk di sekitar Kampung Gadong Jaya Labu, kini boleh menarik nafas lega apabila jambatan yang runtuh sejak empat bulan lalu, siap dan boleh digunakan sepenuhnya, bermula Jumaat lalu.
  • KANGAR - Kerajaan Perlis menyokong cadangan kerajaan Thailand untuk membina jambatan menghubungkan Tamelang dalam Wilayah Satun ke Bukit Batu Putih di Perlis sepanjang 13 kilometer.
  • ALOR GAJAH - Kementerian Kerja Raya telah mengenal pasti 21 jambatan kritikal di negara ini termasuk lima yang sudah ditutup sejak bulan lalu.
  • RAWANG - Jambatan Sungai Bakau yang menjadi laluan alternatif penduduk ditutup selama dua bulan bermula kelmarin bagi projek naik taraf sungai.
  • KUALA KRAI - Hujan lebat berterusan lewat malam semalam di Hulu Kelantan menyebabkan jambatan di Kampung Pemberian, dekat sini, ditenggelami air.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.