KAMPUNG GAJAH - Dua pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Tapah maut manakala empat rakan mereka parah selepas kenderaan yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah van di Kilometer 17, Jalan Bota Kanan - Teluk Intan berhampiran Sekolah Kebangsaan Raja Chulan, Pulau Tiga di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, Aimi Naziha Mohd Zamri dan Nur Danisyah Mohd Sofian, masing- masing berusia 18 tahun meninggal dunia di tempat kejadian serta kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan untuk menghadiri majlis kenduri.

Saksi ketika ditemui berkata, dia memandu van dalam perjalanan ke UiTM Seri Iskandar untuk menghantar dua pelajar Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menghadiri program di kampus induk.

"Kami tidak berkonvoi pun namun, saya terkejut apabila kereta yang dinaiki mereka berenam secara tiba-tiba buat pusingan U di hadapan menyebabkan saya tidak sempat mengelak.

"Walaupun kami mengalami kecederaan ringan, kami bersimpati dengan kejadian yang berlaku. Terkejut juga apabila dimaklumkan mangsa merupakan pelajar Diploma Fakulti Sains Gunaan dan Perakaunan kampus sama," katanya yang turut cedera di jari kaki kanan.

Anggota bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia memberi bantuan kecemasan kepada semua mangsa yang terlibat dalam nahas dua kenderaan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kesemua mangsa menaiki satu kereta jenis Proton Gen 2 dari arah Kampung Gajah secara tiba-tiba membuat pusingan U.

"Van yang dinaiki tiga lelaki berada di belakang kenderaan mangsa telah melanggar kenderaan mangsa menyebabkan kedua-dua mangsa merupakan penumpang hadapan dan belakang disahkan maut di tempat kejadian.

"Kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk menjalani bedah siasat sebelum diserahkan kepada waris," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PARIT - Seorang ibu tidak menyangka ciuman berulang kali anaknya Sabtu lalu adalah yang terakhir dan tidak mungkin dilupakan, demikian luahan hati Aminah Jabil, 65, ibu seorang daripada mangsa kemalangan di Jalan Bota Kanan-Teluk Intan berhampiran Kampung Teluk Memali dekat sini, pagi tadi.
  • BOTA - Kedua-dua pemandu dan kelindan lori yang terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga beranak maut awal pagi tadi di Jalan Bota Kanan - Teluk Intan berhampiran Kampung Teluk Mamali didapati positif dadah jenis Methamphetamine.
  • SUNGAI PETANI - Kuala Muda disenaraikan sebagai lokasi kemalangan dan kemalangan maut tertinggi di Kedah serta ketiga tertinggi di negara ini selepas Kuala Lumpur dan Batu Pahat.
  • BOTA - Tiga termasuk sepasang suami isteri maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori di Jalan Bota - Teluk Intan berhampiran Kampung Teluk Memali, pagi tadi.
  • LENGGONG - Tiga beradik maut termasuk sepasang kembar dalam kemalangan ngeri melibatkan sebuah lori muatan ikan dan empat kereta berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong, di sini, pagi tadi.