IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak berjaya mengesan aktiviti penyelewengan barang kawalan Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi di Chepor, di sini.

Ketua Pegawai Penguat kuasanya, Shamsul Nizam Khalil berkata, kegiatan itu dikesan hasil pemerhatian dan risikan selama dua minggu sebelum bertindak menyerbu dua premis pada 7 September lalu kira-kira jam 7 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati pemilik kedua-dua premis tersebut menjadikan rumah sebagai stor simpanan sementara LPG sebelum diedarkan kepada pelanggan sekitar Chepor dan Chemor, di sini.

"Dua lelaki berusia dalam lingkungan 50 hingga 30 tahun ditahan dan mengaku sebagai pemilik stor simpanan tersebut. Mereka kemudiannya diambil keterangan untuk siasatan lanjut.

"Pihak KPDNHEP telah mengambil tindakan dengan menyita sebanyak 159 tong LPG pelbagai jenama kegunaan domestik dengan berat keseluruhan 1,604kg dan satu lori di lokasi tersebut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, pemilik stor mengaku tidak pernah memohon lesen daripada KPDNHEP dan kebenaran pihak bomba untuk menyimpan serta menjual LPG.

Shamsul Nizam berkata, kegiatan itu juga dipercayai bergiat aktif sejak tiga hingga lima bulan.

"Kita dapati sikap sambil lewa dan mementingkan keuntungan antara faktor utama peniaga dan pembekal masih melanggar undang-undang dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh kementerian ini.

"Kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.

Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhan bagi serbuan kes itu dianggarkan sebanyak RM29,687 termasuk sebuah lori yang disita.

Katanya, KPDNHEP memandang serius terhadap mana-mana individu yang menjalankan urusniaga atau apa-apa aktiviti berkaitan barang kawalan tanpa mempunyai lesen atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

Shamsul Nizam berkata, pemborong dan peruncit LPG juga dinasihatkan supaya menyimpan tong tersebut di tempat yang dinyatakan di dalam lesen sahaja.

Menurutnya, perkara itu penting untuk dipatuhi kerana tempat tersebut telah dinilai aspek keselamatan dan diberikan kebenaran oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat agar keselamatan penduduk sekitar lebih terjamin.