IPOH - Demi memastikan tanah rizab Melayu tidak terus berkurangan daripada semasa ke semasa, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mencadangkan agar semua tanah berkenaan ditebus kembali menggunakan hasil kutipan zakat.

Menurutnya, selain membantu golongan asnaf, hasil kutipan zakat berkenaan boleh sewajarnya digunakan bagi menebus kembali tanah-tanah rizab Melayu yang tergadai selama ini.

Katanya, tanah-tanah tersebut kemudiannya boleh dimajukan dan diserahkan kepada golongan fakir miskin.

“Tanah rizab Melayu semakin terhakis. Maklumat terbaharu yang kita terima hanya tinggal 12.5 peratus tanah ini kerana ia tidak pernah diganti semula.

“Dalam Perlembagaan kita sudah dinyatakan setiap inci tanah dirizabkan kepada bangsa Melayu, kalau sekiranya diambil atau terjual hendaklah digantikan dengan tanah yang serupa agar bilangannya dan kadarnya tidak berkurangan.

“Oleh itu kita harap lebih ramai orang Melayu Islam tampil bagi melaksanakan tanggungjawab membayar zakat, sekali gus membantu lebih ramai golongan miskin di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media setelah merasmikan Seminar Kebangsaan al-Quran dan Negara Toyyibah, di sini, semalam.

Harussani turut menyempurnakan pelancaran dua buku bertajuk Daulah Toyyibah dan Soal Jawab Hudud,

Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk), Datuk Mohd Yusop Husin dan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapin), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Difahamkan, pada seminar yang berlangsung selama dua hari itu, lapan kertas kerja akan dibincangkan oleh tokoh ulama dan ahli akademik.

Harussani berkata, beliau berharap semua pihak termasuk ulama dan umarah dapat berperanan dalam usaha membentuk sebuah negara toyyibah.

Justeru katanya, semua pihak perlu berpegang teguh kepada Perlembagaan demi merealisasikan hasrat penubuhan negara toyyibah dan sekali gus mendapat keredaan daripada ALLAH SWT.

“Sebagai ahli politik, agama itu kita jadikan asas pegangan kita, ia akan jadi baik, tapi kalau agama itu kita politikkan, inilah yang jadi sekarang ni; sesama ulama tuduh menuduh, memaki hamun dan sebagainya sedangkan perbuatan itu perbuatan fasik.

“Kalau ulama juga masuk politik dan sebagainya, kita tak tahu. Saya tidak kata ulama tak boleh berpolitik tapi jangan agama itu dipolitikkan, jika agama dipolitikkan, rosak,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MALAYSIA - PEMILIK tanah kebun durian di Kampung Padang Lebar, menafikan penularan dakwaan pencerobohan dan pengeluaran hasil hutan berlaku sekali gus merosakkan jalan kampung di kawasan tersebut.
  • SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung isu penyerahan tanah bernilai 1.18 bilion di Ijok, Kuala Selangor.
  • KUCHING - Kerajaan negeri Sarawak bersedia meminda Kanun Tanah Sarawak sebagai jalan penyelesaian isu Pemakai Menua dan Pulau Galau, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
  • GUANDONG - CHINA. Pemaju hartanah, Country Garden Pacific View (CGPV) menjadi pemacu haluan dua hala untuk dua institusi pendidikan tinggi bagi mengembangkan bidang kemahiran dan penyelidikan antara Malaysia dan China.
  • IPOH - Sejumlah RM1.5 juta dana wakaf diagihkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk) kepada masjid, surau, tanah perkuburan dan tadika Islam di negeri ini.