IPOH – Kira-kira 400 kakitangan sebuah kilang fiber simen, di sini menuntut majikan mempertimbangkan 12 tuntutan yang dikemukakan Ahli Jawatankuasa Kerja UAC pada Februari lalu.

Pengerusinya, Wahid Anuar Mat Saad berkata, penyelarasan gaji sebanyak empat peratus dan elaun-elaun yang ditetapkan dengan kadar minimum 15 sen sehari dilihat tidak relevan dengan kos sara hidup semasa.

Menurutnya, walaupun pertumbuhan ekonomi bagi kilang itu positif, faedah yang diterima oleh pekerja-pekerja terutama pekerja lama dilihat tidak berbaloi.

“Majikan seolah-olah sengaja melambatkan proses penstrukturan semula gaji minima yang baru seperti yang tertakluk pada perjanjian bersama antara kesatuan dan majikan.

“Kita menuntut penyelarasan gaji sebanyak lapan peratus tetapi majikan hanya memberikan empat peratus sahaja, semua pekerja berasa tidak puas hati dengan penyelarasan yang disifatkan terlalu sedikit,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Wahid Anuar berkata, syarikat juga gagal menaikkan faedah persaraa walaupun kerajaan telah mengumumkan kenaikan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 13 peratus.

“Kami meminta agar pekerja diberikan kad perubatan bagi memudahkan proses mendapatkan rawatan segera di hospital panel.

“Pembiayaan sedia ada tidak mencukupi memandangkan industri kami tergolong dalam industri berisiko tinggi mendapat kecederaan atau penyakit,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pekerja, Mohamad Najib Jamaluddin, 29, berkata, majikan perlu kaji semula pelarasan gaji kerana dilihat tiada perubahan dalam gaji asas pekerja-pekerja dan memberi kesan kepada pekerja-pekerja baru.

“Lain- lain kebajikan kurang memuaskan selain lambakan pekerja-pekerja kontrak dan asing. Majikan lebih senang untuk mengupah kontraktor luar dengan harga tinggi berbanding kami.

“Majikan perlu memanggil kesatuan kami untuk berbincang dan selesaikan kemelut ini. Kita tidak mintak tuntutan yang melampau tetapi bersesuaian dengan kos sara hidup yang semakin tinggi,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.