KUANTAN - Dua lelaki mendakwa diri mereka warga negara India berasal dari daerah Kashmir dipercayai menggunakan surat kebenaran palsu  bertanda tangan mufti negeri sebagai umpan untuk mengutip derma  dengan menjadikan surau dan masjid di negeri ini sebagai sasaran kegiatan mereka.

Dokumen yang ‘sah’ itu dipercayai digunakan untuk memperdaya ahli jawatan kuasa surau yang dikunjungi bagi membenarkan mereka mengutip derma kononnya bagi mengumpul dana bagi membeli Al-Quran dan tafsir untuk  kegunaan umat Islam di Kashmir.

Dua lelaki berjambang tebal berusia dalam lingkungan 30-an dan 50-an itu mendakwa, banjir besar yang melanda daerah itu sebelum ini memusnahkan banyak kitab suci tersebut dan mereka terpaksa mengutip derma di beberapa negara termasuk Malaysia untuk membeli Al-Quran demi kepentingan umat Islam di sana.

Seorang pegawai kanan kerajaan berusia 56 tahun yang enggan namanya disiarkan memberitahu Sinar Harian, dia terserempak dengan dua lelaki itu ketika singgah menunaikan solat Maghrib di Surau Batu 4, Karak, minggu lalu.

Menurutnya, selepas selesai solat berjemaah, salah seorang daripada lelaki tersebut tampil ke hadapan dan mengumumkan tujuan mereka kepada para jemaah menggunakan pembesar suara.

“Lelaki itu menjelaskan tujuan mereka dalam bahasa Inggeris menyebabkan jemaah di surau itu terpinga-pinga kerana tidak faham.

“Secara kebetulan, saya yang memiliki kebolehan bertutur dalam bahasa Inggeris membantu menterjemahkan kata-kata lelaki itu kepada jemaah yang ada,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Reaksi berubah

Beliau berkata, pada mulanya dia tidak mensyaki sesuatu namun setelah mereka menunjukkan surat kebenaran bertanda tangan mufti, Datuk Abdul Rahman Osman, perasan curiga mula timbul di benak fikiran kerana berdasarkan pemahamannya, hanya Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) yang mempunyai kuasa membenarkan aktiviti mengutip derma di negeri ini

Curiga dengan kegiatan lelaki itu, pengadu berkata dia memperkenalkan dirinya sebagai pegawai kanan kerajaan dari salah sebuah agensi penguat kuasa di negeri ini menyebabkan reaksi dua lelaki itu mula berubah.

“Beberapa jemaah yang pemurah tampil menghulurkan sumbangan bagaimana pun tidak lama selepas itu dua lelaki terbabit meminta diri secara tergesa-gesa dengan alasan sudah terlewat untuk ke sebuah surau lain di kawasan berhampiran  bagi tujuan sama,” katanya.

Menurutnya, saya memerhati kelibat lelaki itu hingga ke luar pagar masjid dan mendapati ada sebuah kereta jenis Proton Wira menunggu mereka di satu kawasan kira-kira 200 meter dari masjid.

”Saya mensyaki kegiatan ini didalangi sindiket mengutip derma secara haram oleh warga asing dengan menjadikan surau dan masjid di sekitar negeri ini sebagai sasaran.

“Saya percaya tumpuan mereka lebih kepada surau-surau di  kawasan kampung dan perumahan kerana jumlah jemaahnya agak kecil dan kegiatan mereka sukar untuk diragui,” katanya.

Pengadu berkata, pengutip derma itu juga memaklumkan setiap naskhah Al-Quran lengkap dengan tafsir yang diperlukan bernilai RM150  sedangkan dalam pasaran negara ini harganya jauh lebih rendah.

Dia juga tidak menolak kemungkinan kegiatan dua lelaki warga asing itu didalangi satu sindiket kerana cara penipuan dan pemalsuan surat berkenaan kelihatan begitu tersusun.

Surat palsu

Datuk Abdul Rahman ketika dihubungi Sinar Harian menjelaskan, surat kebenaran yang digunakan dua individu itu jelas palsu kerana beliau tidak pernah memberi kebenaran untuk mereka menjalankan aktiviti tersebut.

Menurutnya, beliau mengakui dua lelaki itu ada menemuinya sebelum ini dan menyatakan hasrat untuk mengutip derma surau dan masjid di Pahang.

“Saya jelaskan kepada mereka, hanya MUIP yang mempunyai kuasa untuk memberikan kebenaran kepada mana-mana pihak menjalankan aktiviti mengutip derma di negeri ini.

“Saya ada menulis surat sebagai tanda sokongan terhadap niat murni mereka itu namun surat tersebut  diubah suai tanpa pengetahuan dan digunakan sebagai surat kebenaran,” katanya.

Beliau berkata, dia sudah maklum tentang penipuan tersebut dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak penguat kuasa agama dan polis.

“Justeru orang ramai atau jemaah surau dan masjid di negeri ini dinasihatkan supaya lebih berwaspada dengan dua individu tersebut dan sekiranya mereka masih meneruskan aktiviti itu, sila maklumkan kepada pihak penguat kuasa agama daerah atau polis untuk tindakan.

“Saya juga sudah menulis surat kepada pejabat kadi daerah berhubung perkara ini dan meminta supaya tindakan diambil bagi mengelak dua lelaki itu cuba mengambil kesempatan terhadap sifat pemurah umat Islam di negeri ini,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Seorang lelaki ditahan bersama empat remaja yang diperalatkan untuk mengutip derma daripada orang ramai termasuk pelanggan restoran di sini, kelmarin.
  • KUANTAN - “Sembilan bulan lepas saya mempunyai dua pilihan sama ada mahu buka kedai dobi atau tubuh maahad tahfiz. Alhamdulillah, ALLAH buka pintu hati saya untuk buka Maahad Tahfiz al Quran Ibtida Ad-Diniyah ini berbekalkan pinjaman wang Amanah Ikhtiar, RM10,000,” kata Siti Fatimah Teh, 44.
  • KUANTAN - Kegiatan mengutip derma tanpa kebenaran di tempat-tempat awam bukan hanya dilakukan rakyat negara ini malah turut ‘dipelopori’ warga asing.
  • KUANTAN - Seorang lelaki warga Pakistan ditahan selepas disyaki terlibat menjalankan aktiviti kutipan derma secara haram di Masjid Al-Fattah, Batu tiga, Gambang di sini, kelmarin.
  • KUANTAN - Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) akan meneruskan operasi menangkap individu yang dipercayai memungut derma tanpa kebenaran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dengan niat menipu masyarakat sekitar negeri ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.