KUANTAN - Umno Bahagian Kuantan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak dalam penentuan calon bagi kerusi Parlimen berkenaan yang disandang pembangkang sejak 2008.

Ketua Umno Bahagian, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat berkata, sebelum ini, pihaknya sudah cukup bertolak ansur dan BN perlu meletakkan calon dari Umno dan bukan parti komponen lain.

“Bila ia dikembalikan kepada Umno, pastinya peluang untuk merampas kembali parlimen itu daripada tangan pembangkang lebih cerah.

“Kita (Umno) sudah mengatur gerak kerja sejak 2008 lagi dan sudah bertolak-ansur sebelum ini. Adalah tidak adil untuk memberikan kerusi ini yang mempunyai peluang untuk kita rampas kembali kepada orang lain," katanya ketika berucap ketika merasmikan Program Gelombang Merah Wanita Umno Bahagian Kuantan di sini, petang tadi.

Difahamkan, sebelum ini, terdapat ura-ura kemungkinan calon dari parti komponen BN di letakkan di situ pada PRU14 nanti.