KUANTAN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang membuat persiapan menghadapi kemungkinan banjir apabila monsun timur laut bermula bulan ini.

Pengarahnya Zulkhairi Zainal Abidin berkata, JKM juga melakukan penambahbaikan dalam persiapan berkenaan tahun ini termasuk penyertaan badan bukan kerajaan (NGO) dalam pelbagai aspek terutamanya bantuan dari segi aspek aktiviti di pusat pemindahan.

“Kita pernah menerima teguran daripada Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tentang aspek kebersihan di pusat pemindahan. Jadi perkara ini perlu dipertingkatkan dan penglibatan agensi terlibat dan NGO amat penting di samping memberi keselesaan kepada mangsa.

“Kita mungkin terlepas pandang dalam hal yang melibatkan modal insan mangsa bencana di pusat pemindahan sementara dan dengan penyertaan NGO seperti Persatuan Kebajikan Ukhwah Silaturahim Pahang (Ukhwah) yang mempunyai jalinan dengan NGO berkepentingan menambah baik pengurusan JKM,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pertemuan Ukhwah dan JKM yang turut dihadiri oleh Presiden Ukhwah, Zulkefly Senek di pejabatnya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata JKM menyiapkan 114 buah pangkalan hadapan dengan bekalan makanan dan kemudahan asas bagi memudahkan pengurusan dan memindahkan mangsa banjir di negeri ini.

“Beberapa jawatankuasa di pusat pemindahan banjir juga dilaksanakan untuk melicinkan segala termasuk seperti jawatankuasa logistik dan pendaftaran mangsa.

“Saya alu-alukan penyertaan sukarelawan baru untuk bersama sukarelawan JKM untuk lebih membantu di pusat pusat pemindahan. Untuk tahun ini kita telah menyediakan 664 pusat pemindahan di seluruh negeri dan yang paling banyak disediakan di Temerloh iaitu 99 buah pusat,” katanya.