KUANTAN - Kegembiraan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang sedang menangkap ikan terhenti apabila tangannya tersusuk batang besi panah yang digunakan untuk aktiviti itu, petang tadi.

Bagaimanapun, khidmat anggota bomba telah digunakan untuk membantu memotong besi panah ikan itu sebelum rawatan oleh pihak hospital diteruskan ke atasnya.

Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Sani Harul berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 2.30 petang menyebabkan mangsa, Ayie Jery, 10, mengalami kecederaan di tapak tangan kirinya.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan kira-kira jam 3.02 petang.

"Sepasukan empat anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Raub bergegas ke Hospital Raub bagi melakukan khidmat khas memotong besi yang tertusuk pada tapak tangan mangsa.

"Sebaik tiba di hospital pasukan bomba mendapati besi panah ikan sepanjang kira-kira 0.5 meter itu masih tertusuk pada tapak tangan kanak-kanak berkenaan.

"Bomba kemudian diminta memotong lebihan besi di tapak tangan mangsa bagi memudahkan pihak hospital merawatnya," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Mohd Sani berkata, pihak bomba memotong besi berkenaan menggunakan bolt cutter dan mengambil masa untuk memotong besi berkenaan dan operasi tamat kira-kira jam 3.34 petang.

"Setelah berjaya mengeluarkan batang besi panah ikan itu, pasukan perubatan segera mengambil alih tugas dalam memberikan rawatan lanjut kepada mangsa. Sehingga kini mangsa berada dalam keadaan stabil," katanya.