BAGI menampung permintaan rozel dari luar negara, kualiti pengeluaran rozel di Rompin akan dipertingkatkan.

Ia bakal dijayakan dengan penyertaan kira-kira 400 keluarga di Kampung Jawa yang dijangka memulakan projek tanaman itu  dengan keluasan kira-kira 0.2 hektar .

Pegawai Pertanian Daerah Rompin, Mohammad Hatta Haron, berkata, permintaan rozel di pasaran luar negara amat besar meliputi Eropah, Korea, China dan Australia.

Menurutnya, setakat ini hanya ada dua kawasan penanaman di Rompin iaitu di Desa Murni Pontian dan Kampung Tebu Hitam dengan jumlah keluasan keseluruhan kira-kira 8 hektar.

Katanya, permintaan rozel dari Rompin amat tinggi kerana kualitinya yang terbaik di negara iaitu dengan memiliki rasa dan warna berbeza dengan hasil di tempat lain yang mungkin disebabkan pelbagai faktor antaranya tanah dan cuaca.

"Rozel di Rompin adalah yang  terbaik di Malaysia. Rasa dan warna lain daripada yang dihasilkan di tempat lain, mungkin kerana faktor tanah dan cuaca.

“JKKK Kampung Jawa bercadang menanam rozel dalam suku ekar atau lebih bagi setiap rumah yang melibatkan tanah sendiri.

“Mereka tiada masalah untuk usahakan penanaman tetapi bermasalah mendapatkan pasaran, jadi kita akan bertindak sebagai pemudahcara bagi mereka,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada sesi penerangan dengan penduduk Kampung Jawa yang turut dihadiri wakil syarikat terlibat, kelmarin.

Mohammad Hatta berkata, selain menjadi pemudahcara mendapatkan pasaran, pihaknya juga akan membimbing penduduk untuk menubuhkan koperasi.

“Projek masih di peringkat cadangan namun kita akan pastikan ia berjalan lancar. Jika tiada masalah dijangka penanaman boleh bermula April depan,” katanya.