JERANTUT - Sebanyak 21 spesies burung baharu ditemui sempena Taman Negara Bird Count 2018 di Taman Negara Kuala Tahan, di sini, kelmarin.

Program membabitkan 300 peserta termasuk pelancong dari luar negara itu berjaya menemui kesemua 120 spesies burung sepanjang tiga hari program itu berlangsung.

Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, peserta turut menemui 19 spesies burung terancam di sekitar taman negara itu.

“Saya lebih tertarik kepada penemuan spesies burung terancam ini kerana ia akan semakin hilang jika habitatnya terus diancam.

“Flora dan fauna di Taman Negara merupakan produk utama pelancongan di daerah ini dan penerokaan hutan yang tidak terkawal akan menjejaskan ekosistemnya,” katanya pada majlis perasmian program berkenaan di Kuala Tahan.

 Hadir sama, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Datuk Idros Yahya.

Ahmad Nazlan memberitahu, biarpun program tersebut lebih kepada memerhati burung namun secara tidak langsung mendidik peserta mencintai alam..

Menurutnya, kehadiran ramai pakar haiwan dari luar negara sebagai sukarelawan banyak membantu peserta mendapatkan ilmu dalam program tersebut.