KUANTAN - Seramai 30 pelatih Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PDK) Kompleks Penyayang teruja dapat beriadah bersama pemain bola sepak Pahang di stadium Darul Makmur, di sini, kelmarin.

Kesemua pelatih yang berusia empat hingga 44 tahun itu ditemani oleh ahli keluarga.

Mereka mula berkumpul jam 4 petang menanti pemain Tok Gajah itu.

Pengurus Pasukan Bolasepak Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata,  inisiatif ini membuktikan skuad bola sepak Pahang sentiasa menghargai sokongan daripada semua lapisan masyarakat.

"Kami sentiasa bersama komuniti. Kecacatan bukan penghalang untuk meminati sukan dah kami hargai golongan orang kurang upaya. Kami menyantuni mereka sebaiknya dan diharapkan kesemua warga PDK gembira serta berbesar hati menyaksikan latihan yang dijalankan.

"Kami akan gantung replika PDK di bilik persalinan pemain sebagai tanda memberi semangat dan inspirasi kepada masyarakat dalam kesukanan" katanya selepas menerima cenderamata hasil kreativiti anak-anak istimewa daripada Pengerusi PDK Kompleks Penyayang, Pai Syahira Al Amin.

Sementara itu, pelatih, Muhammad Muiizudin Zaini, 26, teruja kerana dapat menyaksikan skuad kesayangannya berlatih secara lebih dekat.

Muhammad Muiizudin ditemani keluarga dan penjaga PDK turut mengambil peluang beramah mesra bersama pemain dan sambutan hari lahir pemain bersama pelatih PDK.

Pemain bola sepak turut meraikannya dengan menyuap kek kepada pelatih PDK.