KUANTAN - Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan  Elektronik, Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan Pahang Fox Hunting 2018 melibatkan 101 pelajar dari sembilan sekolah sekitar Pahang dan Terengganu dan Kuala Lumpur.

Pengarah Jaringan Industri dan Masyarakatnya, Ir Dr Nurul Hazlina Noordin berkata, program itu antara inisiatif dibangunkan di bawah Unit Pengembangan Inovasi fakulti bagi menarik minat pelajar sekolah terhadap mata pelajaran STEM.

Menurutnya, ia juga  bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai teknologi radio amatur di samping turut menerapkan unsur reka bentuk antena dan teknik perembatan gelombang radio berfrekuensi tinggi.

“Pelajar  dapat mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari dalam mata pelajaran fizik secara khususnya iaitu gelombang dan elektromagnet.

“Di samping itu, melalui  pengetahuan yang dipelajari itu, mereka boleh menyediakan alat komunikasi dikenali sebagai Homebrew Radio System  yang  dapat digunakan  ketika bencana sekiranya  komunikasi terputus,” katanya yang juga pengarah program tersebut.

Program Fox Hunters menarik minat pelajar sekolah dalam mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Sementara itu, peserta dari  Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (Semsas),Nurul Wahida Mohammad Rosli berkata,  program itu mampu menarik minat pelajar terutamanya dalam bidang Sains Komunikasi serta turut didedahkan dengan pertandingan Fox Hunting.

Katanya, pertandingan Fox Hunting memerlukan peserta mencari beacon (pemancar) yang ditetapkan di beberapa lokasi sekitar kampus UMP Pekan.

“Kami dikehendaki mencari lima beacon yang memancarkan isyarat Kod Morse dan mengenalpastinya bagi  menentukan check point.

“Peserta  yang berjaya melengkapkan pencarian beacon dalam masa yang ditetapkan dikira sebagai pemenang,”katanya.

Pada pertandingan itu,  Sekolah Kebangsaan (SK) Biram dinobatkan pemenang bagi  kategori sekolah rendah dimenangi Regen International School memenangi kategori sekolah menengah.