KUANTAN - Polis meminta saksi kejadian kemalangan 11 Jun lalu yang melibatkan dua pelajar sebuah sekolah menengah tampil membantu siasatan.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari di Kilometer 41.5 Jalan Maran Bandar Jengka itu membabitkan pelajar berusia 14 dan 16 tahun.

Mangsa berusia 16 tahun bagaimanapun maut di lokasi itu selepas dipercayai dilanggar dan digilis dua lagi kenderaan lain sejurus kemalangan berlaku.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd Rahman berkata, polis menerima maklumat orang awam kira kira jam 1.30 pagi, memaklumkan sebuah motosikal melanggar seekor kerbau di lokasi tersebut.

“Siasatan awal mendapati penunggang gagal menekan brek apabila secara tiba tiba seekor kerbau melintas dari kiri jalan. Mereka dalam perjalanan dari arah Bandar Jengka ke Maran. Akibat pelanggaran, kedua-dua mangsa terjatuh  ke  atas jalan.

“Kemudian datang sebuah kenderaan dari arah Maran telah melanggar penunggang motosikal berusia 16 tahun yang terbaring atas jalan. Kenderaan tersebut lari dari tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian pagi tadi

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.