KUANTAN - Umat Islam diseru bersama-sama menegakkan agama agar tidak dipersendakan dan dihormati semua rakyat Malaysia berbilang kaum.

Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, sebagai sebuah negara Islam, umat Islam bertanggungjawab memelihara agama agar tidak dipermainkan.

"Saya akan dipersoalkan (di akhirat) jika tidak menegakkan apa yang halal dan apa yang haram. Jangan persendakan agama Islam.

"Kita kena sama-sama memastikan agama kita dihormati orang lain," titah baginda ketika merasmikan Forum Perdana Hal Ehwal Islam bertajuk 'Islam Tasqif Al-Nisa' atau Pembudayaan Ilmu Kepada Wanita di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini, hari ini.

Forum anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Panel Isu-isu Semasa Wanita Islam (PISWI) itu menampilkan dua ahli panel terkenal, Pengarah (Bahagian Masjid dan Surau) JAIP, Datuk Badli Shah Alauddin dan Pensyarah Kanan Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Syarifah Hayati Syed Ismail.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dan isteri Menteri Besar Pahang, Datin Seri Burhah Mohammed.

Dalam pada itu, baginda bertitah agar golongan wanita mengambil peluang menambahkan pengetahuan dengan menyertai majlis ilmu yang banyak dianjurkan pihak jabatan agama atau majlis agama Islam negeri masing-masing.