MUADZAM SHAH - Penduduk Kampung Aur, di sini, bimbang melihat warna air Sungai Aur yang berubah menjadi warna hijau.

Sungai yang selalunya keruh itu turut dibimbangkan boleh menjejaskan kualiti airnya yang menjadi sumber air di Muadzam Shah dan sekitarnya.

Seorang penduduk, Ahmad Rizal Abdul Hani, 39, berkata, ia bukan kejadian pertama dan kebiasaan berlaku selepas hujan.

Menurutnya, keadaan itu berlarutan beberapa hari dan kembali keruh seperti biasa.

“Kali ini ia berlaku pada Ahad lalu namun hari ini dah semakin pulih. Kalau hujan mesti jadi begini, mula keruh selepas itu berubah jadi warna hijau.

“Saya percaya ia berpunca dari Sungai Jeram yang terletak di hulu, cuma tak pasti apa yang berlaku di sana hingga jadi macam ni,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Ahmad Rizal berpendapat, tahap kesihatan air juga tidak memuaskan kerana ada ikan mati.

Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca dan menangani masalah itu supaya tidak berulang.

“Kalau ikan pun mati, saya bimbang akan beri kesan kepada manusia, sungai ini juga jadi sumber bekalan air di kawasan ini,” katanya.