KUANTAN -  Anggota Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Indera Mahkota berjaya membawa turun seorang mangsa yang mengalami kekejangan kaki ketika mendaki di Bukit Panorama pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 7.20 pagi sebelum tiba ke lokasi jam 8.10 pagi bersama lima anggota.

"Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba memulakan operasi mendaki Bukit Panorama.

"Mangsa berusia 22 tahun dari Pekan itu mengalami kekejangan di atas bukit tersebut sebelum dibawa turun dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Anuar berkata, operasi selesai jam 8.58 pagi.