BERBEKALKAN bimbingan berterusan daripada tenaga pengajar yang tidak pernah berputus asa, 26 pelatih orang kurang ipaya (OKU) di Pertubuhan Pemulihan Tunas Seri Teruntum kini diberi kemahiran asas menjahit dan membuat roti.

Penyelianya, Norashikin Alias, berkata, inisiatif itu dilakukan sebagai satu cara untuk membuatkan pelatih istimewa itu menjana pendapatan melalui produk yang dihasilkan.

Menurutnya, bengkel jahitan bermula pada tahun 2015 selepas mendapat peruntukan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang berjumlah RM18,000.

Mereka membeli keperluan dan membuat produk jahitan yang tidak mengeluarkan kos besar seperti beg, bekas pensel dan bantal

“Bengkel jahitan melibatkan 16 pelatih dan mereka mempunyai tugas masing-masing seperti menggunting kain perca, menjahit dan memasukkan kain perca di dalam bantal bergantung pada kemampuan kerana pelatih terdiri daripada sindrom down, masalah fizikal dan masalah pembelajaran.

“Buat masa ini, kami menerima banyak tempahan daripada orang ramai memandangkan harga yang dijual juga lebih murah iaitu RM3 hingga RM10,” katanya.

Dalam pada itu katanya, bengkel roti pula bermula pada hujung tahun lalu dengan membuat ban kosong dan hanya menjual kepada ibu bapa pelatih sebelum meletakkan roti di gerai-gerai makan berdekatan.

“Buat masa ini kami tidak mempunyai peralatan yang lengkap dan cukup kerana hanya mempunyai satu  mesin aduan dan ketuhar pembakar menyebabkan tidak mampu memenuhi permintaan.

“Sekurang-kurangnya kami membuat 200 ban sehari yang ditempah,” katanya.