BENTONG - Menteri Pengangkutan menafikan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang dibangunkan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan kontraktor utamanya, China Communications Construction Company Ltd (CCCC) menggunakan ramai tenaga asing berbanding tempatan.

Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, projek  itu menggunakan 70 peratus pekerja tempatan manakala bakinya tenaga kerja dari China dan negara Asia lain.

Menurutnya, lebih 80,000 pekerjaan diwujudkan melalui pembangunan ECRL dan 14,000 lagi ditawarkan kepada penduduk setempat.

“Oleh itu, adalah tidak benar orang kata ECRL tidak menjaga pekerja tempatan ataupun projek ini tidak memanfaatkan rakyat kita.

“Ini adalah satu niat jahat yang cuba memanipulasikan projek pembangunan penting dan akan membawa perubahan bagi pantai timur selain bangunkan industri logistik dan pelancongan negara.

“Saya minta sokongan rakyat kita majukan negara kita,” katanya pada Program Hari Keluarga di Felda Sertik di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ditanya mengenai e-dagang (e-commerce) bagi pembangunan ekonomi negara, Tiong Lai berkata, rakyat Malaysia harus berbangga kerana ia menjadi platform Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) dan kerjasama dengan Ali Baba telah merangsang penjualan produk keluaran di Malaysia ke seluruh dunia.

Menurutnya, pengasas Ali Baba, Jack Ma juga menyokong dan melihat potensi produk Malaysia di pasaran antarabangsa.

Justeru, katanya  pada  Mei setiap tahun akan mengkhususkan satu minggu untuk produk keluaran dari negara ini.

“Semua produk yang dimuat naik melalui MDEC iaitu platform kita...kita akan pasarkan melalui Ali Baba.

“Daripada situ, kita dapat popularkan serta memaklumkan kepada penduduk dunia bahawa ada produk Malaysia yang boleh dipasarkan di persada antarabangsa.

“Kalau kita buat melalui platform sendiri, tiada peluang nak pasarkan melalui laman we yang dah terkenal. Kita tak boleh muat naik kecuali kita mendapat sokongan Ali Baba,” katanya.