KUALA LIPIS - Pas negeri melahirkan rasa kesal dengan sikap pemandu kenderaan berat yang seolah-olah tidak cakna dengan keselesaan pengguna jalan lain apabila membawa muatan melebihi had.

Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, banyak aduan diterima mengenai lori yang membawa muatan lebih di Jalan Kuala Lipis-Jerantut, sehingga menyebabkan banyak jalan rosak teruk.

Menurutnya, keadaan itu boleh membahayakan pengguna jalan raya lain dan mengakibatkan kemalangan.

“Jika kita lihat pada papan tanda yang diletakkan di laluan berkenaan jelas menunjukkan kapasiti yang dibenarkan tidak melebihi 15 tan. Namun yang berlaku di Jalan Kuala Lipis-Jerantut, kenderaan berat membawa muatan melebihi had 80 hingga 100 tan.

“Ini menyebabkan jalan raya rosak, selain turut mengundang bahaya kepada pemandu kenderaan lain yang menggunakan laluan terbabit,” katanya ketika menyertai Konvoi Pas Cakna ke Kawasan Parlimen Lipis, di sini, kelmarin.

Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Lipis, Roslan Zainal berkata, kerap berlaku kejadian lori melintang ketika menaiki bukit di laluan Kuala Lipis-Jerantut berikutan muatan melebihi had.

Katanya, ‘raja jalan’ itu bukan saja tidak gentar dengan sebarang tindakan, malah memandu laju tanpa menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya lain, selain langsung tidak mahu memberi laluan kepada kenderaan lain yang memintas.

"Jalan Kuala Lipis-Jerantut mengalami kerosakan paling serius berbanding jalan raya lain di daerah ini. Ada banyak lubang besar. Malah, jalan yang diturap banyak yang sudah rosak dan belum dibaiki.

“Justeru, tindakan tegas perlu diambil pihak berkaitan terhadap pengusaha lori muatan galian yang semakin bermaharajalela menggunakan jalan awam,” katanya.