TEMERLOH- "Siapa lagi nak jaga ibu kalau bukan saya," kata remaja yang sanggup berhenti sekolah tanpa sempat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Wan Nabihah Wan Wan Ariffin,18 dari Kampung Paya Kujan dekat sini melupakan hasratnya untuk belajar dan berusaha menjaga ibunya, Salmiah Rashid, 42, yang mengalami penyakit buah pinggang.

Wan Nabihah juga terpaksa memikul beban sebagai

ketua keluarga dengan menjaga tiga adik yang masih bersekolah serta ibunya selepas selepas ketiadaan bapanya.

Lebih memilukan, keadaan rumah mereka juga kian uzur namun keadaan ibunya perlu diutamakan.

Gadis ini juga turut mengambil risiko menghantar ibunya setiap di Hospital Sultan Ahmad Shah(Hoshas) tiga kali seminggu untuk rawatan dialisis.

“Saya bawa ibu naik motosikal. Memang tak ada lesen,cukai jalan pun dah mati setahun lalu.

“Nak buat macama mana..siapa lagi yang boleh hantar. Tapi kadang-kala ada jiran yang tolong hantar ibu ke hospital," katanya ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Temerloh, Anuar Tahir.

Katanya, walaupun sedih kerana tidak dapat meneruskan pelajaran seperti rakan lain namun dia akur kerana keadaan ibunya lebih utama.

Bagaimanapun, Wan Nabihah bercita-cita menjadi peniaga dan  memiliki butik.

Sementara itu, Salmiah mengakui pilu mengenangkan nasib anak sulungnya yang terpaksa berhenti sekolah.

Namun tekanan hidup memaksa mereka hidup dengan cara itu dan hanya bergantung harap kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) RM400 daripada selain keprihatinan jiran dan orang ramai.

Bagaimanapun, katanya, dia tetap bersyukur kerana sumbangan beberapa pihak membolehkannya membeli sepasang baju Raya untuk setiap anaknya.

“Ada juga buat kuih sendiri tapi sambutan kali ini memang sangat sederhana.Dulu suami ada dan bekerja.

“Cuma memang terasa beban sebab saya pun tak boleh bekerja, anak pun kena jaga saya dan adik-adiknya yang lain,”katanya lagi.

Dalam pada itu,Anuar memberitahu pihaknya akan memaklumkan masalah keluarga tersebut kepada pihak berkaitan supaya nasib mereka lebih terbela.

Pada pertemuan itu, Anur turut menyampaikan sumbangan kepada Salmiah dan anak-anak.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun BSN,064001000183977 milik Wan Nabihah atau menghubunginya di talian 019-5884318.