BENTONG - Jawatankuasa Rayuan Derma Darah /HIV Aids dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) Negeri Pahang telah menganjurkan Program Sehari Bersama Masyarakat kelmarin, bagi mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat di daerah ini.  

Pengerusinya, K Kharthigeyan berkata, program tahunan itu juga bertujuan menggalakkan orang ramai menderma darah bagi membantu golongan memerlukan.

“Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat menangkis stigma-stigma yang sering dikaitkan dengan pendermaan darah.

“Antaranya termasuk menderma darah boleh memudaratkan kesihatan penderma, menyebabkan kesakitan atau bertentangan dengan agama. Apa pun, kami harap dengan program ni, kami dapat capai lebih daripada sekadar peningkatan bilangan penderma,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini, kelmarin.

Menurutnya, selain derma darah, orang ramai juga boleh ikuti pelbagai aktiviti lain antaranya pemeriksaan kesihatan percuma, ujian indeks jisim badan (BMI), ceramah kesihatan dan motivasi pelajar tentang kesedaran kesihatan di samping aktiviti di reruai pameran.

“Melalui aktiviti yang telah dijalankan, diharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :