MARAN - Pejabat Kesihatan Daerah Maran optimis menjayakan Kempen Intensif Suku Suku Separuh sebagai usaha promosi dan advokasi untuk memberi kesedaran rakyat Malaysia mengamalkan makan secara sihat.

Pegawai Kesihatan Daerah Maran, Dr Wan Rosealaiza Wan Abd Ghani berkata, kempen tersebut adalah kelangsungan daripada usaha Jabatan Kesihatan Negeri Pahang yang menjalankan Kem Nak Sihat 2017 yang dilaksanakan bersama-sama dengan Pesta Tasik Maran 2017, baru-baru ini.

Menurutnya, ia merupakan satu inisiatif yang baru diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi membantu rakyat Malaysia supaya menjadi lebih sihat menerusi amalan pemakanan.

"Sepertimana yang kita semua maklum, negara kita sedang berhadapan dengan masalah kesihatan yang disebabkan oleh gaya hidup yang tidak sihat. Rakyat Malaysia tidak kira sama ada golongan dewasa mahupun kanak-kanak adalah terdedah kepada risiko mendapat penyakit tidak berjangkit atau non-communicable diseases (NCD) seperti diabetes, hipertensi dan penyakit kardiovaskular yang lain.

"Amalan pengambilan makanan yang tidak sihat ditambah dengan kurangnya melakukan aktiviti fizikal boleh meningkatkan lagi risiko mendapat penyakit tersebut. Justeru itu, satu saluran maklumat perlu disampaikan kepada komuniti mengenai amalan suku suku separuh sebagai pemangkin kepada amalan makan secara sihat," katanya kepada pemberita.

Hadir sama pada majlis pelancaran kempen teesebut, Exco Kesihatan Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas Negeri Pahang, Datuk Norul Azali Sulaiman, Pegawai Daerah Maran , Datuk Syed Ahmad Fuad Syed Taha dan Pengerusi Pesta Tasik Maran 2017, Datuk Mukaram Shah Zainuddin, yang juga Ahli Majlis Daerah Maran.

Menariknya pada program tersebut turut diadakan acara Fun Ride Cycling for Health yang mana Norol Azali menyertai kayuhan sejauh 30 kilometer dari Dataran Sejahtera , Tasik Maran ke Pusat Rekreasi Cik Minah Sayang ( Lubuk Ujid) Kuala Sentul, Maran.

Dr Wan Rosealaiza berkata, dari segi amalan pemakanan dan pengambilan makanan, rakyat Malaysia didapati tidak mengambil buah dan sayur yang mencukupi.

"Kajian Malaysia School Based Nutrition Survey pada tahun 2012 mendapati majoriti 93.7 peratus remaja berumur 13-17 tahun tidak memenuhi saranan pengambilan sayur tiga sajian sehari dan 51.7 peratus pula tidak memenuhi saranan pengambilan buah dua sajian sehari.

"Bagi golongan dewasa pula, hanya enam peratus sahaja yang mengambil cukup buah dan sayur seperti yang disarankan dalam Panduan Diet Malaysia. Dan ini secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan obesiti dan diabetes dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita.