PEKAN - "Perkara pertama saya nak buat dengan hadiah wang kemenangan ini untuk bayar zakat." Itu hasrat seorang warga emas, Mat Rani Jantan, 70, yang membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 selepas muncul juara dalam pertandingan memancing di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, di sini, hari ini.

Mat Rani dari Bandar Pusat Jengka itu antara 1,200 peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan anjuran Azmi Joran Bagus dengan kerjasama Majlis Daerah Pekan (MDP).

Dia yang datang bersama isterinya, Fatimah Ali, 67, yang juga salah seorang peserta berjaya menaikkan ikan keli seberat 6.8 kilogram hanya selepas 18 minit pertandingan dimulakan pada jam 8.30 pagi.

Mat Rani bersama isterinya selepas membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000.

Ketika ditemui Sinar Harian, Mat Rani mengakui pengalaman yang ada digunakan sebaik mungkin selain menyifatkan ia satu rezeki buat dia dan isterinya yang datang ke Pekan sejak Khamis lalu sempena pertandingan tersebut.

“”Saya anggap ini satu rezeki buat saya dan isteri dan buat masa ini tiada sebarang perancangan khusus.

“Cuma benda pertama saya nak buat nak bayar zakat,” katanya yang turut berhasrat mengadakan kenduri kesyukuran.