• Napsiah menunjukkan dinding rumahnya yang kian reput dimakan anai-anai. Napsiah menunjukkan dinding rumahnya yang kian reput dimakan anai-anai.
1 /

KUALA PILAH – Sepasang suami isteri warga emas dari Kampung Melekai, di sini, kesal apabila pihak berkaitan yang berjanji untuk membantu mereka membaiki rumah kini sepi walaupun tindakan susulan telah dilakukan.

Napsiah Abas, 65, berkata, mereka pernah dikunjungi pihak berkenaan yang turun padang untuk melihat keadaan rumah tetapi masih tiada tindakan diambil.

Menurutnya, rumah yang dibina sejak lebih 10 tahun lalu itu pernah berlaku kebakaran pada 2007 di bahagian dapur dan hingga kini masih tidak dibaiki susulan kekangan kewangan.

“Meskipun rumah ini usang, dindingnya sudah dimakan anai-anai, makcik tetap tinggal di sini kerana ini rumah pusaka dan satu-satunya harta makcik.

“Apabila sudah usang, banyaklah dinding reput dimakan anai-anai. Bumbung pula bocor sana sini hingga kadang kala perlu menyediakan baldi untuk menadah air yang menitis setiap kali hujan,” katanya tinggal bersama suami dan anak.

Katanya, permohonan berkenaan dibuat sejak lapan tahun lalu.

“Makcik pergi sendiri berjumpa pihak berkenaan semasa membuat permohonan itu. Ada juga mereka turun padang melihat keadaan rumah ini, serta mengambil gambar, namun terhenti setakat itu sahaja.

“Mereka maklumkan, rumah ini besar dan jika mahu baik pulih memerlukan kos yang tinggi. Menurut mereka peruntukan hanya ada RM11,000 sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu menurutnya, dia amat berharap rumah berkenaan dapat dibaik pulih memandangkan mereka tidak mampu ditambah pula suaminya, Zahari Acin, 69, mengidap kencing manis kronik sejak 20 tahun lalu dan darah tinggi.

Bagaimanapun katanya, dalam kesempitan hidup, dia tetap bersyukur kerana Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek menyumbangkan kerusi roda untuk memudahkan pergerakan suaminya.

“Sememangnya, makcik tiada punca pendapatan dan hanya bergantung pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan. Itu pun memang tidak cukup kerana pakcik memakai lampin pakai buang,” katanya.