KUANTAN - Nasib dan masa hadapan peneroka Felda sepatutnya dijadikan ‘agenda rasmi’ negara di bawah pen­tadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana isu yang melingkari golongan itu sebenarnya jauh lebih besar daripada penyelewengan atau skandal 1MDB.

Naib Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Zulkifli Mohamed berkata, jika isu itu tidak ditangani dengan serius, dikhuatiri ia boleh menjadi bom jangka yang akan meletup pada pada bila-bila masa yang akhirnya, natijah akan ditanggung PH.

Menurutnya, ia bukan sahaja boleh hakis kepercayaan masyarakat Melayu, bahkan jika tidak ditangani dengan segera, ia juga boleh menyumbang kepada kejatuhan kerajaan PH kerana jutaan kuasa undi golongan itu boleh menentukan kelangsungan kuasa PH pada PRU akan datang.

“Isu utama yang wajib diberi perhatian oleh kerajaan terhadap peneroka Felda adalah berkenaan isu pembayaran duit sara hidup membabitkan peneroka yang ladang mereka sedang dalam proses tanam semula.

“Kerajaan PH mesti faham bahawa duit sara hidup ini bukanlah sebagaimana insentif yang diberi oleh kerajaan kepada petani dan nelayan sebaliknya itu hak peneroka sebagaimana yang termaktub di dalam perjanjian dengan Felda,” katanya.

Zulkifli berkata, peneroka kini mengeluh apabila pembayaran wang sara hidup lambat sedangkan isu itu tidak pernah berlaku di zaman pemerintah BN.

Tambahan pula sambutan Aidiladha yang bakal menjelang, apakah nasib mereka?

“Kita harus faham bahawa tanpa 19 kerusi Felda, PH sama sekali tidak boleh membentuk kerajaan justeru jangan sesekali mengabaikan peneroka kerana ianya seakan mencabar mereka.

“Sekarang, sudah kedengaran suara warga peneroka mula membandingkan kebaikan kerajaan BN berbanding kerajaan PH dalam menjuarai kebajikan warga Felda malah lebih menggusarkan mereka juga mula mempertikaikan kemampuan serta janji kerajaan PH melindungi dan menyelesaikan masalah para peneroka yang mengundi PH dalam PRU14 lalu,” katanya.

Beliau berkata, sokongan warga Felda membantu memenangkan calon-calon PH di kerusi Parlimen dan Dun dengan harapan nasib mereka akan lebih terbela daripada berada di bawah pentadbiran kerajaan BN, tetapi malangnya, nasib peneroka Felda masih tidak banyak berubah.

Katanya, isu beban hutang peneroka juga mesti diberi perhatian serius kerana ianya membabitkan hampir RM100,000 seorang justeru amat diharapkan agar hutang-hutang peneroka dapat dikurangkan sehingga 50 peratus dan menghapuskan sama sekali faedah 6.2 peratus yang disifatkan terlalu tinggi.

“PH kena kembali kepada  tawaran yang diberikan untuk menarik sokongan warga Felda, dalam Konvensyen Warga Felda pada 19 Mac 2017 dengan menawarkan lima resolusi jika PH menang dalam PRU14. Dua daripada lima Resolusi Konvensyen Warga Felda ini akhirnya dimasukkan sebagai antara 10 janji Kerajaan PH untuk di laksanakan dalam 100 hari pertama pentadbirannya.

“Ia termasuklah janji menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda, dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja 1MDB, Felda, Mara, Tabung Haji, dan merombak semula struktur kepimpinan mereka,” katanya.

Zulkifli berkata, malangnya, sehingga kini kedua-dua janji itu masih belum dilaksanakan oleh kerajaan PH sehingga mula menimbulkan  kemarahan daripada warga Felda.

“Justeru, demi kelangsungan kerajaan PH saya menyeru supaya menteri, pengerusi dan pengurusan tertinggi Felda membuka mata dan hati mereka dengan melihat permasalahan ini dengan lebih serius.

“Saya tegaskan sekali lagi, sekiranya isu-isu yang sedang melingkari warga Felda ini masih tidak diselesaikan dengan segera, tidak mustahil PH akan dihalau keluar daripada memasuki kawasan-kawasan Felda seperti mana mereka pernah lakukan sebelum ini,” katanya.