KUALA ROMPIN - Seorang ibu tunggal di Kampung Merlak, di sini, patah di bahagian tapak tangan dalam pergelutan selepas rumahnya dipecah masuk dua lelaki dalam kejadian rompakan sekitar jam 3.30 pagi tadi.

Mariani Edi, 52, yang diikat kaki dan tangan berjaya melepaskan diri dan terpaksa memandu ke rumah seorang anak perempuannya di Felda Selendang 4, di sini, tanpa menyedari tangan kirinya patah.

Anak sulung, Sabariah Burhanalis, 35, berkata, tidak sangka pintu rumahnya yang diketuk sekitar jam 5 pagi itu rupanya emaknya yang datang dalam keadaan cedera di bahagian muka.

Menurutnya, melihat keadaan emaknya itu beliau terus membawa masuk ke dalam rumah sebelum membiarkan emaknya duduk sambil memberinya minum air.

"Saya terkejut pagi semalam sebab tak sangka buka pintu tengok emak dengan ada kesan luka pada muka dan dalam masa sama emak kata rumahnya kena rompak, dia tak hubungi saya sebab telefon turut diambil penyamun tu.

"Selepas bertenang, emak cerita ada dua orang tindih dia tengah tidur sambil tutup mukanya dengan tangan dan letak parang di leher selain mengikat kaki serta tangannya. Dia terpaksa meronta kerana tak dapat bernafas dan berlaku pergelutan hingga dia cedera," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Sabariah berkata, perompak itu masuk ke dalam rumah emaknya melalui tingkap dapur selepas memotong besi tingkap itu.

Anak sulung daripada lima beradik itu turut menzahirkan rasa syukur kerana emaknya selamat dalam kejadian itu dan kini terpaksa tinggal bersama seorang adiknya sebab masih belum sihat sepenuhnya.

"Nasib baik emak ada simpan pisau dalam bilik, jadi dia capai dan potong ikatan pada tangan serta kakinya sebelum berusaha untuk keluar dari rumah kerana dikunci dari luar, walaupun makan masa tetapi emak berjaya keluar," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Azli Mohd Noor yang dihubungi mengesahkan kejadian dan anggaran kerugian sekitar RM4000.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diterima barang yang telah diambil asag dua pasang subang emas, dua buah telefon bimbit, pelbagai jenis kad prabayar bernilai RM400 dan kad ATM BSN serta Maybank.

"Mangsa dirompak dua lelaki dipercayai warga Indonesia bersenjatakan parang dan mengakibatkan kecederaan apabila berlaku pergelutan antara perompak dengan mangsa yang cuba melepaskan diri," katanya.

 

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Sebuah kedai emas dalam pusat beli-belah di Tampoi, di sini disamun empat lelaki dengan menggunakan senjata api, kelmarin.
  • IPOH - Polis berjaya menumpaskan Geng Tangki dengan menahan dalangnya merupakan etnik Rohingya berusia 27 tahun sekali gus berjaya menyelesaikan tiga kes samun stesen minyak membabitkan kerugian dianggarkan RM3,500 sekitar Mei lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.