KUANTAN – Pertubuhan Save Merapoh Cave menggesa aktiviti pembalakan dan perlombongan di kawasan laluan Hutan Simpan Merapoh hingga membabitkan Gua Hari Malaysia, di Merapoh, Lipis  dihentikan serta-merta bagi mengelak  kemusnahan lebih teruk.

Pengasasnya, Mohd Laili Basir berkata, pihak bertanggungjawab perlu mengambil tindakan tegas menghalang jentera yang keluar masuk di  kawasan berkenaan secepat mungkin.

Menurutnya, kelewatannya menghentikan aktiviti itu dibimbangi akan memburukkan lagi keadaan dan menyebabkan berlaku lebih banyak kemusnahan alam sekitar.

“Hampir keseluruhan kawasan ini yang cantik dan indah musnah dalam sekelip mata dan ia dipercayai berlaku  tempoh dua minggu kebelakangan ini.

“Kelmarin, saya bersama beberapa rakan dan pelancong terkejut dengan perubahan tersebut ketika kami dalam ekspedisi menuju ke Gua Hari Malaysia. Tiada lagi keindahan hutan manakala kejernihan air sungai di gua sungai  Hari Malaysia sudah bertukar menjadi keruh serta kotor.

“Berdasarkan siasatan awal bersama penduduk kampung,  tiada langsung papan tanda mengesahkan aktiviti pembalakan dijalankan. Kami syak  berlaku aktiviti  pembalakan haram atau mencuri emas. Mereka cukup licik kerana beroperasi ketika musim hujan dan dipercayai berpakat dengan pihak lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Laili berkata, September lalu, keadaan laluan Hutan Simpan Merapoh dan Gua Hari Malaysia masih dalam keadaan baik dan pelancong masih lagi boleh menikmati keindahan luar biasa dimiliki hutan simpan itu.

“Cukup kecewa dengan kemusnahan ini disebabkan keindahan semula jadi di sini  tiada tandingnya lebih-lebih lagi ia merupakan tercantik di semenanjung Malaysia dan kedua tercantik di negara selepas gua sungai Mulu.

“Di samping itu Hutan Simpan Merapoh terkenal dengan santuari hidupan liar seperti gajah, beruang, kambing gurun, tapir, harimau dan juga tempat pembiakan bunga pakma terkecil di dunia.

“Di sini juga merupakan lokasi penganjuran acara peringkat antarabangsa yang berjaya menarik pelancong ke Malaysia iaitu Magnificent Merapoh Trail bagi tempoh tiga tahun berturut-turut semenjak 2015 dengan pembabitan hampir dari 30 buah negara,” katanya.

Sementara itu, katanya, agensi pelancongan dan kerajaan negeri tidak boleh berdiam diri, pelbagai usaha termasuk menjaga, mengawal dan membaik pulih perlu dititikberatkan.

“Keadaan sudah terjejas teruk, pemantauan perlu dilakukan dari masa ke semasa agar kawasan tarikan pelancong yang merupakan salah satu aset negara tidak dimusnahkan dengan mudah sekali,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :