KUANTAN - Impian 28 keluarga dalam kawasan Dun Lepar di sini untuk memiliki rumah sendiri bakal menjadi kenyataan apabila permohonan mereka di bawah projek Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) diluluskan.

Lebih menggembirakan apabila kerja-kerja pembinaan rumah tersebut bakal dilaksanakan dalam masa terdekat selepas  proses menandatangani dokumen perjanjian selesai dilakukan, semalam.

Adun Lepar, Datuk Mohd Shohaimi Jusoh berkata, daripada jumlah pemohon yang menandatangani dokumen perjanjian semalam, 23 adalah pemilik lot tapak rumah di Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Seri Fajar, Gambang fasa ketiga, empat penduduk Paya Bungor dan sebuah keluarga dari Kampung Seri Mahkota yang kehilangan rumah akibat kebakaran tahun lalu.

Menurutnya, secara keseluruhan, sebanyak 9,381 permohonan RMR1M diterima di negeri ini dalam tempoh 2002 hingga Julai tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu, 330 pemohon adalah penduduk kawasan Paya Besar termasuk 28 dari Dun Lepar.

“Secara keseluruhan daripada permohonan itu, 91 RMR1M berjaya disiapkan, 12 masih dalam pembinaan, 43 di peringkat dokumen perjanjian, 72 ditolak dan 112 dalam proses nilai layak.

“Di RTK Seri Fajar Fasa ketiga, kerajaan negeri meluluskan 66 lot untuk penduduk dan proses serahan geran dipercepatkan supaya pemilik lot yang berminat boleh membuat permohonan untuk mendapatkan rumah ini melalui SPNB,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian tersebut di Pejabat Dun Lepar di Gambang, di sini, semalam.

Turut hadir Pegawai Perhubungan SPNB Pahang, Ahmad Islanizam A Halim.

Mohd Shohaimi berkata, RMR1M berkeluasan 1,000 kaki persegi mempunyai tiga bilik dan dua bilik air itu ditawarkan pada harga RM65,000 dengan subsidi kerajaan RM20,000.

“Pemohon yang layak hanya membayar kira-kira RM270 sebulan selama 25 tahun dan bayaran bermula selepas proses terima kunci.

“Bagi permohonan dari pemilik Lot di RTK Seri Fajar, proses lantikan kontraktor akan dilakukan pada pertengahan atau hujung September ini sebelum proses pembinaan dimulakan.

“Di kawasan itu, kerajaan sudah menyediakan infrastruktur seperti jalan dan bekalan air bagaimanapun bekalan elektrik dalam proses penyediaan melalui peruntukkan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW),” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang berhasrat untuk memohon untuk mendapatkan rumah ini boleh membuat permohonan melalui SPNB negeri bagaimanapun beberapa syarat ditetapkan antaranya, mesti ada tanah sendiri yang sesuai atau mendapat kebenaran pemilik tahan atas tapak yang dicadangkan.

$content.code.value
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.