JKM syor elaun bantu dua beradik OKU terus bekerja

JKM syor dua beradik yang kehilangan kaki kanan akan menerima Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) bermula Ogos ini.
JKM syor dua beradik yang kehilangan kaki kanan akan menerima Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) bermula Ogos ini.
A
A
A

KUANTAN - Dua beradik yang mengalami kecacatan kekal pada kaki kanan akibat kemalangan jalan raya disyorkan menerima Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) pada Ogos ini.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui satu kenyataan memaklumkan pemberian elaun kepada Nik Haznita Saffiya Nik Husmadi, 20, dan adiknya, Nik Haziera Saffiya, 18, yang mengusahakan cendol meleleh di Taman Seri Lebak, Temerloh bagi memperkasakan ekonomi dan menyokong kegigihan mereka.

Menurut kenyataan itu, kedua-duanya akan menerima elaun sebanyak RM450 seorang sebulan, menjadikan keseluruhan RM900 sebulan.

"Kedua-dua beradik terbabit sebelum ini turut menerima Bantuan Pesakit Terlantar (BPT) sebanyak RM500 seorang, Tabung Bantuan Segera (TBS) serta bantuan kerusi roda khas bagi membantu proses pemulihan.

"Suntikan insentif ini diharap dapat meringankan beban harian serta menjadi pemangkin semangat buat dua beradik usahawan ini untuk terus maju ke hadapan," menurut kenyataan tersebut.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan kegigihan dua beradik terbabit membangunkan semula perniagaan keluarga selepas melalui detik hitam dalam kemalangan jalan raya pada 7 Februari tahun lalu.

Mereka memilih mengusahakan Cendol Meleleh di Taman Seri Lebak, Temerloh bagi membantu menambah pendapatan keluarga selepas melihat bapa mereka bertungkus-lumus menyara enam beranak.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!