KUANTAN - PKR Kuantan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan segera terhadap Pegawai Khas Menteri Pengangkutan, Datuk Andrew Wong Kean Hwee bagi memastikan ketelusan dan kebebasan sistem pilihan raya di negara ini.

Adun Teruntum, Sim Chon Siang berkata, siasatan itu perlu diambil berikutan kenyataan Andrew dalam satu majlis di Sri Jaya pada 11 Julai lalu yang disifatkan berbaur ugutan dan rasuah.

Menurutnya, Andrew mendakwa geran RM5 juta setahun akan diagihkan kepada kawasan Parlimen sekiranya calon dari BN memenangi kerusi di Kuantan pada PRU14.

“Kenyataan beliau (Andrew) amat terpesong dan berbaur ugutan kepada masyarakat dan cubaan untuk memanipulasi keputusan PRU14 dengan tawaran memberikan imbuhan wang kepada pengundi.

“Geran dinyatakan sebenarnya hak masyarakat Kuantan yang tidak termaktub kepada sebarang syarat kerana mereka pembayar cukai  dan berada dalam kawasan Parlimen kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan di Pejabat SPRM Negeri, di sini semalam.

Chon Siang berkata, BN bertindak zalim kepada Ahli Parlimen dari pihak pembangkang dengan merampas hak untuk bersama dalam membuat keputusan pengagihan geran tersebut kepada pihak yang layak sejak 2008.

“Pengawalan penggunaan geran tersebut diletakkan di bawah seliaan Pegawai Kemajuan Negeri (SDO) akan tetapi disalurkan kepada wakil rakyat BN dan bukan wakil rakyat dipilih rakyat.

“Kenyataan Andrew juga dilihat untuk memanipulasi keputusan PRU14 supaya berpihak kepada BN,” dakwanya.

Sementara itu, Chon Siang turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada kira-kira jam 10.45 pagi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia Kelantan masih menjalankan siasatan awal terhadap pendedahan mengenai ada di antara ahli politik di negeri ini disyaki terlibat dengan rasuah.
  • KUCHING - Mahkamah Majistret di sini hari ini membebaskan dua pemain Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan seorang lelaki dipercayai ‘bookie’ yang sebelum ini ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes mengatur perlawanan Liga Premier.
  • SHAH ALAM - Semua dokumen berkaitan isu penyerahan tanah bernilai RM1.18 bilion di Ijok, Kuala Selangor sudah diserahkan kerajaan negeri Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
  • SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung isu penyerahan tanah bernilai 1.18 bilion di Ijok, Kuala Selangor.
  • GEORGETOWN - Exco Kerja Raya, Lim Hock Seng dipanggil ke Ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang untuk memberi keterangan sebagai saksi berhubung projek terowong dasar laut di negeri ini.