KUANTAN -  Empat peserta larian Run Out Pahang dilanggar kenderaan dipandu seorang wanita yang hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Kuantan , Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata,  kejadian berlaku kira-kira jam 8.25 pagi di Jalan Kota Sas.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila pemandu kereta jenis Nissan Almera yang berusia 28 tahun itu yang juga urusetia larian dalam tugas membuat pemantauan peserta larian (urusetia) dari Bukit Istana  menghala ke Kota SAS.

"Apabila tiba di tempat kejadian,  beberapa peserta telah keluar daripada laluan larian.

"Semasa wanita itu cuba membrek untuk memperlahankan kenderaan bagi memberi arahan supaya peserta masuk ke laluan larian yang betul, secara tiba-tiba keretanya  hilang kawalan lalu memasuki laluan larian sebelah kiri dan melanggar peserta yang sedang membuat larian ke lokasi penamat," katanya di sini, sebentar tadi.

Mohd Noor berkata, akibat daripada kejadian ini, tiga peserta dibawa ke Hospital Universiti Islam Antarabangsa  dan seorang peserta dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA)  untuk menerima rawatan lanjut.

Katanya, keterangan mangsa larian pemandu kereta dan penganjur akan diambil selain saksi bebas akan dikesan bagi membantu siasatan.

"Pemandu kereta turut dibawa ke Narkotik Ibu Pejabat Polis Kuantan bagi ujian darah dan air kencing  "katanya.

Mangsa yang cedera adalah Ahmad Fakhri Sulaiman, 31 , dari Pekan; Chua Yennie, 21, pelajar Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas).

Dua lagi mangsa,  Nurul  Huda  Ahmad Razali,  33 , dari Muadzam Shah dan Haslinda Othman,  41 , dari Selangor.