KUALA LIPIS - Sangkaan awal menghidap buasir dan gastrik ternyata meleset apabila dia disahkan menghidap kanser usus tahap empat.

Itu hakikat yang perlu diterima Mohamad Khirul Affindi Abd Rani, 43, dari Kampung Telang di sini apabila disahkan menghidap penyakit serius itu bulan lalu.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu sebelum ini bertugas sebagai chef di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur namun terpaksa pulang ke kampung halaman di sini ekoran tahap kesihatannya yang merudum dan tidak mengizinkannya untuk bekerja mencari rezeki.

Isterinya,  Nor Baiti Mohamad Nor, 33, berkata, berat badan suaminya turun mendadak dari 59 kilogram kepada 49 kilogram sekitar bulan September dan Oktober lalu sebelum keadaan menjadi semakin serius ketika membuang air besar pada bulan November.

“Bulan 11 abang dah mula sakit dan berak berdarah, dia ingatkan buasir. Lepas tu pergi klinik panel kat tempat kerja. Dua kali juga pergi klinik tu tapi masih lagi sakit. Abang ada juga mengadu perut keras dan ingatkan angin biasa. Doktor bagi ubat gastrik tapi tak baik-baik juga.

“Kemudian abang buat temu janji untuk pembedahan membuang buasir di hospital swasta (panel) dekat Jalan Pudu, Kuala Lumpur. Bila kami dapat tarikh untuk pembedahan buang buasir tu doktor masukkan skop (prosedur endoskopi) kat dalam (dubur) dan dapat kesan ada ketumbuhan di bahagian usus,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Nor Baiti menyuapkan susu khas kepada suaminya

Suri rumah itu berkata, melihat keadaan itu, pembedahan membuang buasir tidak dapat dilakukan dan doktor meneruskan temu janji untuk pembedahan membuang ketumbuhan tersebut kerana ia lebih kritikal.

Tambahnya, kos bagi membuang ketumbuhan berkenaan mencecah RM25,000 di hospital swasta berkenaan dan ia di luar kemampuan mereka.

“Sebelum ini kos untuk buang buasir tu RM10,000 dan untuk ketumbuhan RM25,000. Kos RM25,000 tu syarikat tak dapat tanggung sebab hanya RM10,000 je mereka dapat biaya untuk seorang pekerja dalam tempoh setahun.

“Jadi kami minta tukar ke hospital kerajaan dan terus balik kampung pada 18 Disember tahun lepas. Kami kena buat semula segala prosedur di Hospital Lipis,” katanya.

Kuman merebak ke hati

Nor Baiti berkata, selama suaminya menjalani prosedur pemeriksaan dan perubatan di Hospital Lipis, kanser berkenaan telah berada di tahap empat dan mula merebak ke bahagian hati.

Menurutnya, suaminya menjalani pembedahan membuang ketumbuhan berkenaan pada 2 Januari lalu dan selepas keluar hospital mereka lima beranak menumpang di rumah keluarga Nor Baiti di Kampung Sungai Ular di sini.

“Saya berhenti kerja sebagai jurujual di sebuah kedai serbaneka di Kuala Lumpur selepas melahirkan anak ketiga sebab kos sara hidup tinggi di sana. Jadi rasa macam tak berbaloi kerja, lebih baik jaga anak-anak sendiri tapi tak sangka pula enam bulan kemudian abang jatuh sakit.

“Sekarang ni adik-beradik yang banyak bantu dari segi kewangan dan jaga anak-anak sebab saya perlu berulang alik dua minggu sekali ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bawa abang menjalani rawatan kemoterapi,” katanya.

Pakai beg stoma

Sementara itu, Mohamad Khirul Affindi berkata, selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada 2 Januari lalu, dia terpaksa tinggal di wad selama seminggu untuk pemantauan doktor.

Jelasnya, sekarang dia perlu memakai beg stoma yang dibeli di farmasi dengan harga hampir RM200 dan hanya bertahan tidak sampai dua minggu.

“Sekarang ni saya runsing memikirkan sumber kewangan sebab syarikat tanggung tiga bulan sahaja atas faktor MC (cuti sakit) lepas tu kena ambil cuti tanpa gaji.

“Tiga anak saya masih kecil, iaitu Nur Aliya Damia, 5, yang sekarang bersekolah di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Kampung Kedelek, Adib Uzir Rayyan, 3, dan Firras Mikhail, setahun,” katanya.

Katanya, kesan kemoterapi amat mencabar kerana terlalu pedih hingga menyebabkan dia hilang selera makan.

Mohamad Khirul Affindi terpaksa memakai beg stoma selepas pembedahan.

Tambahnya, pihak HKL turut membekalkan susu khas kepadanya sepanjang tempoh kemoterapi namun dia perlu membeli sendiri susu berkenaan sebaik tamat sesi tersebut dan ini memerlukan kos yang banyak.

“24 hari bulan ni saya akan menjalani lagi rawatan kemoterapi di HKL dan doktor menyatakan kadar rawatan bergantung kepada tahap kesihatan saya.

“Setiap kali selesai rawatan saya rasa panas dan terbakar pada bahagian tubuh badan.

“Saya anggarkan kira-kira RM2,500 diperlukan bagi menampung perbelanjaan perubatan, membeli keperluan harian serta perbelanjaan anak-anak termasuk yang bersekolah,” katanya kepada Sinar Harian.

Orang ramai  yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan kepada Mohamad Khirul Affindi melalui akaun  Maybank 112080435758 atau hubunginya di talian 013-2731174