JANDA BAIK - Penduduk menggesa agar kerajaan mengkaji semula laluan projek fasa tiga menara talian elektrik syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Hutan Simpan Lentang berhampiran Janda Baik kerana dikhuatiri akan menjejaskan pelbagai khazanah alam dan penduduk kawasan sekitar.

Projek pembukaan jalan dan pembalakan bagi tujuan projek berkenaan yang melibatan kawasan seluas 99.85 hektar bermula dari kawasan Bentong Selatan ke Lenggeng Negeri Sembilan itu juga dikhuatiri akan mencemar lima sungai utama yang membekal air bersih kepada penduduk kampung Janda Baik dan kawasan sekitar.

Timbalan Pengerusi Penaja Persatuan Pengusaha Penginapan dan Eko Pelancongan Janda Baik, Jafri Jais, 53, berkata kegiatan yang telah berlarutan sejak tiga bulan lepas itu menyebabkan Sungai Benus menjadi keruh umpama 'teh susu' apabila hujan dan akan turut terkena empat sungai lain.

"Kami tidak pernah membantah projek pembangunan untuk rakyat, namun yang kami persoalkan kenapa mesti melalui hulu sungai di Hutan Simpan Lentang di berhampiran dengan Janda Baik yang rata-rata penduduknya bergantung dengan sumber ekonomi pelancongan berasaskan eko pelancongan.

"Jika projek ini diteruskan, sudah pasti ia akan menjejaskan sungai dan alam sekitar yang mana ia merupakan aset utama tarikan pelancong datang ke kawasan pelancongan tanah tinggi ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di blockade bantahan peduduk kampung di Hulu Sungai Benus di sini, hari ini.

Berikutan dengan projek itu, Jafri berkata, penduduk kampung juga telah melakukan bantahan dua kali iaitu pada 2014 dan 11 Okt tahun lepas selain turut menghantar surat bantahan kepada pihak yang terlibat termasuk TNB, Jabatan Perhutanan Pahang, Pejabat Menteri Besar Pahang dan Jabatan Alam Sekitar.

Menurutnya, hasil bantahan yang dilakukan, penduduk kampung telah dipanggil untuk mengadakan dialog bersama TNB bagi membincangkan hal tersebut dan pihak kontraktor telah diarah mengeluarkan lima buah jentera berat untuk tujuan pembalakan di kawasan itu.

"Kesemua kenderaan itu dibawa keluar pada hari ini dan disambut dengan perasaan gembira oleh penduduk kampung walaupun setakat ini masih belum ada jaminan daripada pihak yang berkenaan jajaran di kawasan itu akan dikaji semula," katanya.

Sementara itu, bagi pengerusi gerakan bantahan penduduk kampung Mohd Rosli NorrRashid, 50 berkata, pembalakan dari pelaksanaan fasa satu dan dua projek menara talian elektrik itu dari Hulu Sembah sehingga ke Tanah Kelompok Kampung Janda Baik terbukti telah meninggal kesan buruk kepada alam sekitar.

"Walaupun dinafikan tetapi kita tahu sedikit sebanyak kejadian tanah runtuh di Lebuh Raya Karak berhampiran Hutan Simpan Lentang pada 11 Nov 2015 adalah berpunca daripada aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan.

"Kita tidak mahu kejadian itu berulang dan menimpa pula penduduk Janda Baik," katanya.

Seorang lagi penduduk kampung Mohamad YusabananYusof, 41 turut kesal dengan sikap pihak berkuasa yang gagal melakukan pemantauan menyebabkan pihak kontraktor yang terlibat tersasar dari laluan yang ditetapkan dan membuka laluan haram di kawasan yang mempunyai balak bermutu tinggi.

"Malah pembukaan laluan itu juga akan memberi peluang untuk pembalak haram untuk meneroka serta mencuri hasil-hasil hutan yang banyak terdapat di sini termasuk kayu cengal, meranti, dan tanaman harba.

TNB dilaporkan melaksanakan dua buah projek infrastruktur iaitu talian penghantaran 500kV dari Bentong South ke Lenggeng dan juga talian 275kV dari Bentong South ke Ampang East yang melalui kawasan Hutan Lipur Lentang, Pahang.  

Apabila projek ini siap pada tahun 2017, rangkaian talian penghantaran ini akan menjadi sebahagian daripada Sistem Grid Nasional.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BANDARAYA MELAKA - Melaka mencatatkan ketibaan pelancong melebihi 130.28 juta dalam tempoh antara 1999 dan 2016, dengan pelancong domestik menjadi kumpulan teramai yang mengunjungi negeri ini.
  • IPOH - Kerajaan negeri tidak menafikan pewartaan mukim Matang sebagai kawasan dijangkiti wabak rabies memberi kesan kepada kedatangan pelancong khususnya di Kuala Sepetang.
  • JASIN - Tapak Ekskavasi Arkeologi Kampung Chohong berpotensi dibangunkan sebagai kawasan tarikan pelancongan.
  • JOHOR BAHRU - Seramai 20 anggota Kelab Media Johor (KMJ) bersama-sama beberapa wakil Tourism Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan kerajaan negeri memulakan misi galakan pelancongan ke Krabi, Thailand mulai malam ini sehingga 4 Ogos depan.
  • TELOK AIR TAWAR - Ketiadaan lampu di sekitar Pantai Robina, di sini menenggelamkan pemandangan indah di sekitar kawasan pelancongan ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.