KUANTAN - Seramai 41 orang iaitu 19 penumpang bas persiaran dan 22 penumpang bas ekpres terselamat dalam kemalangan yang turut melibatkan dua lagi kenderaan lain.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2.15 petang tadi di Kilometer 52 Jalan Kuantan-Segamat.

Ketua Polis Daerah,Superitendan Amran Sidek berkata,kesemua penumpang dan pemandu dua bas terbabit selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Cuma pemandu kenderaan jenis Hilux iaitu seorang lelaki berusia 38 tahun mengalami kecederaan ringan dan sedang mendapatkan rawatan di Klinik Gambang.

“Manakala wanita berusia 29 tahun yang juga pemandu kenderaan jenis Proton Saga masih menerima rawatan di Hospital Pekan,”katanya.

Jelasnya, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu bas ekspress terlanggar bahagian belakang Hilux dan bas persiaran lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar kenderaan Proton Saga yang datang dari arah hadapan.

“Ketika kejadian,bas persiaran dan Hilux terbabit dari arah Kuantan menghala ke Segamat.

“Kes disiasat di bawab Rule 1 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai menyebabkan kemalangan,”katanya lokasi terbabit adalah kawasan menaiktaraf jalan dan cuaca cerah ketika kejadian.