KUALA LIPIS - Sebuah balai bomba Gred D bernilai RM3 juta bakal dibina di pekan Sungai Koyan, di sini, tahun ini.

Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, projek berkenaan merupakan usaha kerajaan bagi memantapkan tugas menyelamat dan kecemasan berasaskan pembesaran kawasan bandar serta perumahan.

Menurutnya, projek itu juga secara tidak langsung memberi peluang penubuhan pasukan sukarelawan dalam tugas menyelamat membabitkan komuniti setempat.

"Selain Sungai Koyan, turut dalam perancangan projek pembinaan balai bomba di pekan Benta dan Merapoh sejajar dengan pembangunan perumahan serta laluan hot spot Central Spine Road (CSR) yang banyak berlaku kejadian kemalangan.

"Kerajaan prihatin dengan aspek menyelamat sewaktu kebakaran dan kemalangan kerana isu itu wajar diberi keutamaan ekoran kepadatan penduduk di kawasan berkenaan selain menjamin kesejahteraan rakyat berasaskan transformasi pembangunan kerajaan," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Taklimat dan Kursus My Bomba Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Peringkat Daerah Lipis di Dewan Residen Lipis, di sini, hari ini.

Hadir sama, wakil khas Ahli Parlimen Lipis yang juga Ketua Penerangan Umno Lipis, Datuk Abu Jimi Samat.